Luahan Hati Kecil Pemimpin Kecil
Aku sentiasa memegang prinsip manusia itu tak dilahirkan sebagai seorang yang sempurna. Hinggakan sememangnya menjadi fitrah kepada seorang makhluk Allah itu untuk melakukan kesalahan. Sebab kita bukan Malaikat mahupun Nabi-nabi yang maksum.
Dengan apa engkau pandang orang yang berdosa?
Pandangan Rahmat atau kebencian nista?
Ketahuilah hati yang membenci
Tidak akan mampu mencinta.
Sememangnya aku cukup benci kepada orang-orang yang suka terus menghukum manusia ini seolah-olah tiada lagi jalan taubat untuk manusia itu. Jangan sesekali dia lupa bahawa Allah menjadikan sesuatu itu ada pasangannya. Kalau Allah jadikan kebaikan, maka akan ada kejahatan. Dan pintu taubat itu sebagai penutup kepada kepada kejahatan, seterusnya mencetuskan kebaikan yang murni. Hukum Alam telah member pengajaran dengan proses kejadian durian yang mana pasangannya adalah manggis. Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa Allah menjadi musim durian itu beriringan dengan musim maggis. Sebab apa? Kerana durian itu sifatnya panas dan bagi menyejukkan kepanasan, Allah hadirkan kepada kita manggis yang sifatnya sejuk.
Memang tak dinafikan sama sekali bahawa Islam telah mengajar ummahnya agar saling nasihat-menasihati. Tetapi tidak dilupakan juga bahawa dalam nasihat-menasihati itu ada juga kaedah yang telah dianjurkan. Yang paling penting adalah jangan sesekali kita meninggalkan sekelumit dendam pun pada hati mad’u kita. Kalau itu yang berlaku, maka jangan lagi disesali kenapa diri tidak dihormati. Kadang-kadang kita memikirkan yang bahawa kita telah memenuhi tuntutan hadis yang meminta agar kita mencegah kemungkaran apabila melihatnya. Tetapi kita tidak pernah sedar bahawa kita bukannya mencegah kemungkaran, malahan menambah pula maksiat yang lain. Jalan yang terbaik adalah kita bersahabat terlebih dahulu dengan mad’u kita itu. Jangan kita fikir bahawa dengan sekali teguran atau marah, kita mampu mengubah maksiat menjadi ibadah. Kalau itu mampu berlaku, mustahillah dakwah Rasulullah yang sememangnya maksum mengambil masa berpuluh-puluh tahun bagi menyampaikan Islam. Persahabatan akan melahirkan ukhwah, ukhwah pula akan mewujudkan tarbiah. Melalui persahabatan barulah kita memahami sahabat kita itu. Kemudian barulah kita dapat menilai adakah perbuatan mad’u kita itu dikira maksiat dari neraca Islam mahupun dari neraca manusia semata-mata?
Islam tidak pernah menyusahkan kehidupan manusia. Tetapi manusia yang jahil itu sendiri yang menyusahkan kehidupan sejagat. Niat tidak akan sesekali menghalalkan hukum. Sudah menjadi trend semasa apabila wujud sebuah gerakan bersifat dakwah, maka kepaksaan akan timbul. Kita terlalu agresif ingin melihat sebuah maksiat itu bertukar dengan ibadah atas usaha kita agar dipuji orang. Tetapi apa yang dibalas hanyalah sebuah cacian, seguni makian dan juga sekawah kutukan. Ketika ini juga manusia hanya memikirkan bahawa dia sahaja yang betul tanpa memikirkan keadaan pihak mad’u yang menerima paksaan seruan dia. Jika diandaikan kehidupan manusia ini mudah untuk diperbetulkan, maka mustahil dakwah Rasulullah mengambil masa selama 23 tahun bagi membersihkan “ibadah-ibadah” zaman jahiliyah. Ahli-ahli gerakan Islam pula ramai yang memikirkan hanya dia yang betul. Hinggakan terdapat unsure-unsur kekerasan dalam kerja-kerja dakwahnya.
Allah mengurniakan akal yang sihat kepada makhlukNya supaya memikirkan kaedah yang terbaik dalam melakukan kerja-kerja dakwah. Bukalah matamu yang cerlang itu, lihatlah masyarakat yang kritikal ini. Mereka memerlukan murabbi yang sejati, bukannya pemaksa yang sejuta. Kaji dahulu keadaan di pihak sana, atau lebih mantap jika kita merasainya terlebih dahulu. Waallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment