Thursday, March 22, 2012

Ayah.... Engkau Idola aku


Setiap orang pasti mempunyai ayah. Malah kedudukan ayah di dalan keluarga adalah pada hieraki yang tertinggi. Yakni sebagai seorang ketua keluarga. Kasih sayang ayah pada aku memang tak dapat aku pertikaikan lagi. Melihat semangat dan motivasi ayah adalah motivasi tertinggi di dalam kehidupan aku. Aku berani mengatakan bahawa motivasi itu lebih bernilai daripada program motivasi yang pernah aku ikuti. Malah mampu mengalahkan Tengku Asmadi yang popular dgn Motivasi Alihan Pelajar (MAP) nya. Sebab apa begitu sekali? Semangat yang ditunjukkan oleh ayah, aku mampu mengecapinya. Malah sentiasa hidup dalam jiwa aku. Sehinggakan setiap tingkah laku mahupun perkara yang aku lakukan dalam hidup ini adalah kerana ayah. Aku hendak ayah bangga dengan anak lelaki "coang" dia ini. Kasih sayang aku pada ayah adalah ikhlas bukan plastik. Jujur aku katakan baru-baru ini aku menonton filem Sang Pemimpi, ketika sampai babak Haikal yang sedih ketika mengecewakan ayahnya, dengan tidak disangka-sangka air mataku jatuh mencurah-curah. Tidak pernah aku menghayati cerita sampai sebegitu sekali. Sehinggakan aku terpaksa "pause"kan cerita tersebut kerana hatiku terlalu sebak. Aku menangis kerana otakku kembali mengingati peristiwa ketika aku tingkatan 5 dahulu. Hahahaha. Aku pasti ketika aku memaklumkan kepada ayah yang aku digantung sekolah selama seminggu sebenarnya memeritkan jiwa dan perasaan aku. Walaupun suara dihujung telefon itu kelihatan tenang, sebenarnya aku pasti hanya lakonan. Apabila sampai di rumah aku melihat ayah aku tiada. Hanya emak yang menyambut kepulangan anak yang telah memalukan mereka ini dimuka pintu. Ketika itu mata emak sudah merah. Dari sekolah sehingga ke rumah aku berlagak relax, bila melihat sahaja wajah ibu lantas aku terus menangis tidak tumpah seperti seorang budak kecik. Perasaan malu bukan lagi halangan ombak sedih yang mengalir dari anak mata aku. Dalam masa yang sama berbola mataku turut ligat mencari dimana kelibat idolaku. Aku ingin sekali mencari dan memohon maaf kepadanya. Ketika ayahku sedang rancak meniti tangga-tangga kejayaan dalam kerjayanya, lantas aku yang menconteng arang ke mukanya. Ketika itu ayah aku baru sahaja naik pangkat sebagai penolong pengawai di PPD. Ketika aku disekat oleh pihak sekolah utk mewakili ke latihan pusat ragbi daerah, ayahku sanggup datang ke sekolah untuk berbincang dengan pengetua. Ayahku juga turut menelefon timbalan pengarah pelajaran Perak untuk menanyakan tentang situasi aku. Akhirnya aku dibenarkan mewakili sekolah ke latihan pusat ragbi itu. Aku begitu bangga mempunyai ayah seperti engkau. Tapi sayang, balasannya tidak setimpal seperti apa yang engkau lakukan. Maafkan aku ayah.....

Pengaruh ayah dalam hidupku begitu tinggi. Ketika kecil dahulu, aku bertegas hendak berkhatan ketika umur 9 tahun. Ini kerana ayahku turut berkhatan ketika umurnya 9 tahun. Malah setiap apa yang aku lakukan semuanya hendak ayah aku bangga. Aku aktif bersukan asalnya kerana ayah. Akhirnya menjadi rutin harian. Melihat gambar-gambar ayah ketika zaman muda yang aktif bersukan telah membakar semangat aku. Sebab itu aku menyertai pasukan bola sepak sekolah rendah aku dahulu. Aku bermain silat juga kerana ayahku pernah bermain silat juga. Aku cuba belajar berbahas juga kerana ayah aku adalah hakim bahas untuk negeri Perak. Aku meminati bidang sastera dan penulisan kerana sejak kecil aku seronok meihat ayah aku menulis sajak dan menyertai kursus-kursus penulisan. Setiap kali pulang ayahku pasti membawa buku-buku cerita untuk kami adik-beradik membaca. Sehinggakan saat ini aku adalah seorang kaki novel. Sehinggakan kalah kakak-kakakku. Hahaha. Sehinggakan aku malu apabila tetamu yang datang ke rumah akan bertanya siapa pembeli novel yang banyak di rak buku rumahku. Adik-beradikku pasti menyebut namaku. Itulah aku. Seorang lelaki yang kaki novel. Ha3. Semua berpunca dari minat ayahku. Untuk makluman pembaca sekalian, ayahku adalah seorang guru sastera. Penyertaan aku dalam bidang kepimpinan sejak sekolah menengah sehingga di kolej ini semua berasal-usulkan dua perkara. Pertama kerana kepimpinan penting untuk orang Islam. Kedua kerana ingin mengikuti ayahku. Personaliti ayahku sebagai pemimpin memang aku kagumi. Lagaknya hingga mampu menandingi seorang wakil rakyat. Mengetahui ayah seorang ketua pelajar ketika bersekolah menengahnya menyebabkan aku turut ingin menceburi bidang kepimpinan sekolah dahulu. Aku menyertai kepimpinan mahasiswa juga kerana ayahku juga seorang bekas pemimpin mahasiswa. Sebab itu aku bertegas ingin menyertai pilihanraya kampus walaupun ayah dan emak menghalangnya Mungkin untuk ini aku berjaya mengalahkan ayahku. Kerana ayahku hanya kepimpinan peringkat kelab sahaja. Aku pula pernah memegang jawatan di peringkat perwakilan mahasiswa. Ha3. Ini bukan bermakna aku gila pangkat. Cuma prinsip hidupku aku akan melakukan setiap yang ayah pernah lakukan. Malah aku inginkan kejayaan aku lebih tinggi darimu wahai ayah.

Ayah..... Melihat engkau bekerja mulai 8.00 pg sampai 11.00 mlm membuatkan aku kagum dengan semangatmu. Engkau bertuah kerana memiliki emak yang benar-benar membantu kelancaran hidupmu. Aku kadang-kadang malu denganmu. Disiplin memang langsung tidak setanding denganku. Malah umpama langit dan bumi. Siangmu sebagai pengawai kerajaan, malammu sebagai perniaga. Engkau begitu hebat. Masa rehatmu hanyalah ketika tidur sahaja. Doakan aku agar mampu menjejaki kecekalan dan semangatmu. Aku pinta kemaafan dari engkau wahai ayahku kerana pernah memalukan dirimu. Aku berjanji bahawa satu masa nanti engkau akan berbangga mempunyai aku sebagai anakmu. Harapan ayah dan emak kepadaku akan aku tunaikan dengan bantuan daripada Allah SWT. Doa kalian amat aku perlukan dalam menongkah perjuangan hidup ini. Aku akan berusaha meneruskan kegemilangan yang pernah dicapai oleh datuk dan moyang saya dahulu. Kalau kini orang hanya mengenali Datuk Hj Mior Aris Bin Mior Abu Bakar, doakan agar akan munculnya Datuk Hj Mior Muhammad Faris Bin Mior Abdul Rahman. Ha3. Semoga Allah akan memeluk segala-gala mimpiku..... Amin......

Ayah.... Engkau adalah idola yang sejati yang pernah muncul dalam hidupku. Api semangatmu akan terus hidup dalam jiwa dan hatiku.......

2 comments: