Monday, June 10, 2013

Hikmah Dari Sebuah Yang Disangka Natijah

Langit masih lagi serupa semalam. Masih lagi menunjukkan kekuasaanNya. Masih lagi menangis menitiskan titik renyai yang suci airnya. Tetap terasa kehadirannya walaupun tidak lebat. Musim dia barangkali. Aku masih setia bersama selimut tebal memberian bonda dari kampung. Masih memikirkan perancangan harian untuk hari ini. Cuaca sebegini mengubah banyak perancangan semalam. Tesis. Itulah perancangan terbaik yang seharusnya aku selesaikan hari ini. Aku perlu menghabiskan segera penulisan tesis ini agar bebannya tidak dibawa ke semester mendatang.

                Semester ini memperlihatkan pelbagai ragam sahabat-sahabat yang majoriti bergelumang dengan tesis masing-masing. Aku termasuk dikalangan mereka-mereka yang terlewat hantar. Ada yang sudah tewas ketika mula-mula melangkah masuk ke gelanggang silat. Ada yang tewas apabila sudah masuk gelanggang, tetapi masih belum sempat membuka bunga. Ada yang berjaya dengan mudah merebahkan musuh. Ada yang tetap membuka langkah walaupun darah sudah melimpah dari hidung. Ada yang mantap dengan pelbagai buah pukulan tapi musuh terlalu gagah untuk direbahkan. Itulah perumpaan yang boleh aku gambarkan situasi-situasi sahabat di dalam ‘menjinakkan’ tesis masing-masing. Tahniah buat mereka yang siap tepat pada masanya dan mampu mempersembahankan hasil yang mantap.

                Tesis aku bertajuk “ Dato’ Paduka Seri Setia Professor Dr Hj. Mahmud Saedon Bin Othman: Sumbangan Beliau Terhadap Kehakiman Islam Di Malaysia”. Sebuah tajuk yang hadir tanpa aku sangka. Permulaannya aku mengesyorkan tajuk yang sama tapi tokoh yang berlainan. Tetapi tidak dipersetujui. Lantaran itu, aku menemui pensyarah untuk meminta cadangan tokoh. Ketika itu nama Dr Mahmud Saedon yang keluar dari mulutnya sambil beliau menceritakan serba sedikit kehebatannya. Kagum. Itu perasaan aku ketika itu. Tanpa banyak bicara dan karenah, aku terus bersetuju dan menghantar tajuk tersebut kepada ketua jabatan dan terus diluluskan tajuk tersebut. Penyelianya adalah pensyarah yang memberi cadangan tadi. Aku lega dengan pengkhabaran tersebut dan menyangka sebuah perjalanan menyiapkan tesis yang tidak rumit akan terlakar.

                 Tetapi impian rupanya hanyalah indah khabar dari rupa. Sampai di rumah, carian awal di internet memperlihatkan Dr Mahmud Saedon ada warganegara Brunei. Nafas perlahan seketika. Tekedu. Natijahnya, kertas cadangan tesis masih diperingkat awang-awangan. Rujukan masih terlalu sikit. Tambahan pula masih belum ada sesiapa penulis di Malaysia yang pernah menceritakan biografinya. Hanya ada satu sahaja buku yang menceritakan mengenai beliau, itupun hanya terdapat di Brunei. Habis idea aku ikhtiarkan untuk mendapatkan buku tersebut. Termasuk cuba ‘add’ beberapa warga Brunei yang ada di alam maya. Hasilnya amat mengecewakan. Buntu. Itulah fikiranku tika itu. Sebaik selesai final exam. Aku meminggirkan segala kemungkinan dan kerisauan di hati. Penulisan terus dilakukan. Cuba sedaya mungkin buat yang terbaik dengan bahan yang agak sedikit.

                Penyelia. Ini babak-babak penting di dalam perjalananku menyiapkan tesis. Pertemuan pertama yang tidak seindah seperti orang bercinta yang mula-mula bertemu. 90% penulisan perlu diubah dan dibaiki. Luluh jiwa tika itu. Tambahan perlu ketika itu adalah waktu cuti. Mula membilang hari memikirkan cuti-cuti yang masih berbasi. Segala kata-kata berkaitan ke’syadid’dan penyelia yang pernah berbunyi sebelum ini kembali mengetuk gegendang telingaku untuk memaklumkan semula. Penyelasan mengundang seketika apabila melihat rakan-rakan lain yang sekali hantar sudah selesai semuanya. Semangat dan tawakkal. Itu yang masih setia bersama. Strategi baru dilakarkan semula untuk menjinakkan tesis ini. Pertemua kedua diatur semula. Langkah dan bunga dibuka dan ditarikan dengan berhati-hati agar tidak cacat di berbola mata musuh. Buah pertama dihantar. Sekali tepis musuh sudah membalas dengan buah yang lebih berbisa. 2 buah buku rujukan yang aku guna perlu dibaca semula dalam masa 2hari dan dibentangkan dihadapannya. Allahuakbar. Itu sahaja yang disebutkan dibibirku. Langkah pulang tidak lagi kelihatan seperti pendekar, tapi hanyalah umpama ayam jantan yang cedera sebelah kakinya. Cuti hujung minggu yang padat hanya membenarkan aku mentelaah sebuah buku sahaja. Pertemuan ketiga tetap diatur. Langkah tetap seperti pendekar walaupun tahu keris yang dibawa agak sumbing sedikit. Seni tari dan langkah pendekar dipersembahkan dengan penuh keyakinan agar tidak nampak kesumbingannya. Musuh nampak seperti mudah dijinakkan kali ini. Ya, tekaanku tepat. Musuh berjaya dijinakkan. Akhirnya, tesis berjaya disiapkan dan boleh dijilidkan. Lucu mengingatkan kembali apabila mulut ini menuturkan kata-kata rayuan apa
bila tidak mampu membaca kedua-dua buah buku. Penyelia memaklumkan tesisku sudah lulus tapi belum boleh diberi ‘A’. Itu sudah memadai buatku ketika ini.

                Tapi, kesabaran dan kesungguhan pasti Allah akan balas. Keputusan final exam yang keluar menunjukkan tesisku berjaya memberi sebutir ‘A’ buatku. Senyuman diwajah dan senangnya hati hanya Allah SWT yang tahu tahap kemanisannya. Hari ini aku kembali meramahkan diri bertemu penyelia yang pernah dianggap musuh yang amat sukar untuk direbahkan sebelum ini. Pertemuan yang istimewa ini membawa kepada sebuah hadiah yang istimewa. Kebetulan beliau baru pulang dari Umrah. Sebuah buku terbitan dari Arab Saudi yang telah dialih bahasakan ke bahasa Indonesia , kecil tapi besar nilainya buat hamba yang doif ilmunya seperti aku. Terima kasih buat beliau dan aku doakan kesejahteraan buatnya dunia dan akhirat.


P/S: Kita perlu yakin untuk melalui denai yang kita nampak dan kita fikir amat penuh sekali dengan onar dan duri. Kerana pemikiran kita yang kuat ikatannya dengan hati. Apabila akal terlebih dahulu tewas, bagaimana pula hati ingin cekal?. Kita belum tahu apa takdir buat kita. Islam mengajar kita untuk terus menambah sebiji anak benih walaupun kita nampak jelas tanda esok kiamat yang berlaku.Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment