Berbicara soal keberanian wanita bukanlah sesuatu yang terlalu asing sebenarnya. Ini terbukti apabila di dalam Islam, muslimah di zaman Rasulullah S.A.W sudah menunjukkan keberanian mereka. Kisah Nusaibah Bin Ka'ab contohnya sudah sememangnya begitu popular sebagai kisah seorang jururawat perang yang akhirnya menjadi tentera yang melawan musuh demi agama tercinta yang dianutinya. Nusaibah Binti Ka'ab bukan sahaja bertempur seorang diri malahan turut diikuti oleh putera dan suaminya. Malah ada riwayat yang menceritakan Nusaibah Binti Ka'ab berperang sehingga terpotong tangannya.
Tapi jangan dilupakan kisah Ramlah Binti Abu Sufyan. Keberaniannya sudah terserlah semenjak beliau mula membuat keputusan memeluk agama Islam lagi. Hal ini kerana ketika dia membuat keputusan untuk memilih Islam, statusnya ketika itu adalah anak kepada seorang pembesar Musyrikin Mekah yang berkuasa, yakni Abu Sufyan yang sememangnya terkenal dgn kegarangannya ketika zaman Jahiliyyah beliau. Abu Sufyan yang merasakan dirinya begitu berkuasa, terpalit besar beliau dgn pengislaman Ramlah. Dia menjadi sangat marah sehingga kehidupan Ramlah dan suami serta anaknya Habibah sentiasa diseksa oleh kaum Kafir Quraisy.
Selepas Rasulullah S.A.W. mengarahkan para sahabat untuk berhijrah ke Habsyah, dia dan suaminya Ubaidillah Bin Jahsy berserta anak mereka Habibah turut berhijrah ke Habsyah. Di Habsyah, keteguhan hatinya terus teruji apabila ditakdirkan suaminya Ubaidillah Bin Jahsy yang asalnya seorang penganut agama Nabi Ibrahim A.S. kembali murtad dan memasuki agama Nasrani. Saat ini Ramlah berada dipersimpangan antara memilih mengikuti suaminya, kembali kepada ayahnya di Mekah atau terus kekal di Habsyah sebagai pelarian seorang diri tanpa saudara dekat. Kesan dari keteguhan Imannya, Ramlah terus memilih bersama Islam dan hidup sebagai pelarian di bumi Habsyah. Imannya telah membawa dia untuk menyerahkan masa depannya kepada Allah S.W.T.. Keadaan ini berterusanlah sehingga Allah S.W.T. mengurniakan satu rezeki yang tidak disangka-sangka olehnya, iaitu dia dipinang dan dinikahkan oleh Raja Najasyi dengan Rasulullah S.A.W..
Iktibar dari kisah Ramlah Binti Abu Sufyan ini adalah teguh bersama imannya walaupun dia sangat mencintai kedua-dua lelaki yang dekat dengannya iaitu ayahnya dan suaminya sendiri. Dia tidak takut untuk membuat perubahan di dalam kehidupannya selari dengan keyakinan dia terhadap agama Allah S.W.T yang disampaikan melalui Rasulullah S.A.W. walaupun ketika itu dia adalah puteri kepada penguasa Mekah.
Bersama wanita terbahagia aku.