Friday, March 23, 2012

Aku Si Pemimpi


Setiap orang pasti pernah bermimpi kerana itu hak mereka. Setiap orang yang berjaya pasti suka bermimpi. Orang yang jelas matlamat hidup selalunya suka bermimpi. Mengapa begini? Kerana mimpi adalah faktor yang menentukan kejayaan seseorang. Orang yang bermimpi sahaja yang memikirkan masa hadapan dia. Hal ini kerana melalui mimpi, ia akan menghasilkan sebuah semangat yang akan mendorong susuk tubuh kita untuk berjaya. Ramai orang memandang sinis apabila ada orang yang mengaku suka bermimpi. Mereka dituduh sebagai manusia yang suka berkhayal dan berangan-angan sahaja. Barangkali semua ini adalah angkara virus kisah dongeng Mat Jenin yang telah meresap masuk dan sebati di dalam hati umat Melayu. Adakah Mat Jenin bersalah kerana dia suka berkhayal? Adakah Mat Jenin bersalah kerana mimpinya terlalu tinggi? Jawapan tidak. Mat Jenin tidak pernah sesekali bersalah kerana sikapnya yang suka berkhayal atau bermimpi itu. Tetapi yang bersalahnya adalah kita. Kita yang mengatakan bahawa Mat Jenin bersalah kerana suka bermimpi atau berkhayal. Walhal, mereka lupa bahawa mimpi adalah salah satu cara untuk mereka memikirkan masa hadapan mereka. Memikirkan risiko-risiko atau kemungkinan yang bakal mereka tempuhi memerlukan mimpi. Mat Jenin hanya bersalah kerana dia hanya berhenti setakat bermimpi sahaja, tetapi tidak berusaha untuk memenuhi impian ataupun mimpi dia itu. Jangan sesekali kita lupa bahawa kerana mimpilah Lim Gohtong berjaya membuka Genting Highland walaupun asalnya hanya pembawa traktor. Tidak dilupakan juga bahawa kerana mimpilah hari ini Syed Nasaruddin mampu untuk berbangga dengan syarikat konglomeratnya, Naza Corporation. Kerana mimpi jugalah hari ini Nik Mardihah membebaskan keluarganya dari belengu kemiskinan. Sekali anda bermimpi, sebenarnya anda telah mengorak langkah untuk mendaki anak-anak tangga kejayaan. Tetapi ingatlah bahawa mimpi kita mestilah selari dengan ketetapan yang ditetapkan oleh Pemilik Sekalian Alam, Allah S.W.T., kerana itu adalah aqidah dan kepercayaan wajib kita. Bermimpilah sepuasnya kerana itu adalah hak anda. Tetapi anda seharusnya meneruskan langkah-langkah yang sepatutnya anda teruskan seusai bermimpi itu. Selamat bermimpi.

No comments:

Post a Comment