Thursday, March 31, 2011

Sekitar Kem Citra Diri Asertif 2011






































KIAS: Lubuk Para Dai'e



KIAS,
Letakmu di bumi alim-ulama,
Santunmu menarik hati yang kudus,
Siulanmu mengamit burung-burung para dai’e,
Indahmu kerana biah yang solehah.

KIAS,

Engkau lahirkan ribuan pejuang ALLAH,
Engkau pasarkan produk berkualiti,
Engkau menjana sebuah transformasi mahasiswa,
Engkau sulamkan songket dakwah pada isinya.

KIAS,

Tempat pemasyhuran kalimah Tauhid,
Suara masyarakat yang dahagakan ilmu,
Membela anak-anak bangsa yang kuat semangatnya,
Jasanya hanya dinding dan jendela itu yang tahu.

KIAS,

Campuran dakwah dan kepimpinan,
Kesatuan ilmu dan sahsiah,
Cantuman siasah dan agama,
Perpaduan jemaah dan usrah.

KIAS- Lentera kehidupan ummah
KIAS- Kesatuan Islam dan Politik
KIAS- Ketelusan dan Kejujuran

Rahman Al-Farisi
Nilam Puri
31 Mac 2011

Tuesday, March 29, 2011

Zahirkan singa dari dirimu wahai mahasiswa

22 MAC 2011, satu tarikh yg akan aku cuba untuk tidak lupakannya. Aku tidak sangka mahasiswa KIAS ini memiliki mahasiswa-mahasiswa yang mempunyai suara sebenarnya. Tetapi mereka ini hanya akan mengeluarkan suara-suara mereka apabila melibatkan hak-hak mereka yang penting sahaja.
Kembali kepada konteks KIAS, baru-baru ini kita dimaklumkan mengenai pertukaran sakan muslimin hingga sakan muslimat. Memang isu ini telah memainkan peranan yang singkat yang mempengaruhi susasana di KIAS. Selama hamper setahun aku disini, baru kali itu aku merasakan bahawa aku sebenarnya telah berada di sebuah Institut Pengajian Tinggi. Sana-sini aku mendengar orang bercerita tentang isu asrama ni. Setengah yang menyokong dan setengah lagi yang membantah. Pihak yang ini dengan alasan yang ini, pihak yang itu dengan alasan yang itu. Cuma secara peribadinya, aku tak kisah mana-mana keputusan pun yang diambil. Sebab pertukaran asrama ini, impaknya member kebaikan kepada muslimin dan juga kepada muslimat. Tukar atau tidak tukar, ianya tetap memberi implikasi yang tersendiri. Aku mengetahui bermacam-macam tomahan dan juga pujian yang diberikan kepada aku. Oleh kerana aku membawa watak yang membantah pertukaran ini, maka pihak yang menyokong mengutuk aku. Pihak yang menyokong pula siap berjumpa dengan aku untuk ajak diadakan demostrasi. Memang masa ini cukup terasa bahawa mahasiswa-mahasiswa ini mengambil cakna tentang isu sekeliling. Tahniah aku ucapkan kepada kedua-dua pihak.
Tidak kisahlah apa pujian atau tomahan pun, matlamat aku membantah ini hanya satu. Aku bukan nakkan pertukaran sangat pun, cuma, aku inginkan mahasiswa belajar sesuatu dari apa yang telah terjadi ini. Kalau sebelum ini kita hanya tahu berdiam diri, tapi apabila timbul isu ini, semua pakat memberi pendirian dan pendapat masing-masing. Aku mengambil manfaat dari isu ini untuk menyedarkan mahasiswa-mahasiswa ini agar mengeluarkan suara mereka masing-masing sebagai satu latihan menyiapkan diri kita ini untuk mendepani masyarakat nanti. Walaupun aku tahu untuk membantah keputusan HEP itu sebagai satu yang mustahil. Kerana alibi yang hendak dikemukakan memang cukup-cukup rapuh. Malahan, faktor keselamatan yang mendorong kepada pertukaran itu pun sebenarnya sudah cukup kuat hatta payah untuk dipatahkan. Aku membantah bukan hendakkan pertukaran keputusan, tetapi hendak menyedarkan bahawa mereka ini perlu untuk mengentengahkan pendapat masing-masing, bukan sahaja hanya cakap-cakap belakang. Dan mereka juga kena sedar bahwa mereka ada persatuan yang boleh dianggap sebagai kawan bukan sebagai musuh. Menjadi fenomena di KIAS ini apabila tidak berpuas hati sahaja, mulalah untuk kutuk-mengutuk, walhal mereka ada persatuan yang fungsinya untuk mengangkat suara kalian. Kalianlah yang bertanggungjawab untuk mengubahkan persatuan kita ini agar menjadi sebuah persatuan yang tegas dan bukannya persatuan yang gagal. Kalian kena menjadi seorang yang agresif terlebih dahulu sebelum persatuan menjadi agresif. Kita bangga dengan rentetan sejarah kejayaan mahasiswa, tetapi kita belum lagi layak untuk menjadi mahasiswa yang sebenar. Sebagai contoh, kita bangga dengan kejayaan Anwar Ibrahim yang Berjaya mencetuskan Revolusi Baling yang mendesak kerajaan membantu orang melayu yang akhirnya membawa kepada kemajuan FELDA. Tapi, kita sendiri masih belum berjaya untuk memajukan KIAS sendiri pun. Apatah lagi meminda suasana di KIAS ini sendiri. Kita berasa bangga apabila orang menceritakan bahawa SUARA MAHASISWA ITU SUARA KERAMAT, SUARA MAHASISWA ITU SUARA EMAS, SUARA MAHASISWA ITU SUARA YANG BEBAS, dan bermacam-macam lagilah. Kita tak malu untuk berbangga dengan semua ini, tetapi kita hendak mengeluarkan suara sendiri pun penakut. Mustahillah suara itu menjadi suara keramat kalau suara itu tidak dikeluarkan. Ayuh mahasiswa, kita zahirkan singa yang ada dalam diri kita ini. Jangan sesekali kita menjadi kambing yang hanya mengembek apabila bersama-sama dalam kumpulan dia sahaja. Tetapi menjadi penakut apabila berhadapan pihak asing.
Memang kadang-kadang aku terasa hati apabila dicop dengan bermacam-macam label, hinggakan ada yang meminta supaya aku bertaubat. Aku terfikir adakah apa yang aku buat ini berdosa? Aku tak kisah walaupun aku telah dikutuk, kerana aku akan tetap bangga sebab aku ada suara yang telah dikeluarkan. Aku juga tak malu untuk bercerita tentang rentetan sejarah kejayaan mahasiswa. Kalian kena sedar bahawa setiap pendapat adalah Benar dan setiap orang berhak memberi pendapat. Cuma setinggi mana kebenarannya itu sahaja yang menjadi ukuran diterima atau tidak diterima pendapat itu. Sepanjang isu ini, bermacam-macam mesej mahupun pendapat yang memenuhi laman FB aku. Aku hanya membiarkan sahaja apabila ada yang disampaikan. Kerana itu hak kamu. Memang kadang-kadang aku sedih hatta pernah juga air mata ini menitiskan butir-butir jernih. Hinggakan ada yang siap mengeluarkan dalil-dalil Al-Quran. Kadang-kadang aku lucu juga melihat fenomena ini. Baru aku tahu bahawa mahasiswa-mahasiswa KIAS ini sebenarnya ada pendapat mereka masing-masing. Walaupun pendapat mereka itu telah dikemaskan dengan dalil-dalil Allah, tetapi mereka tetap malu untuk zahirkan. Saya tak tau nak cakap apa dah lagi. NAsihat saya, ambillah pengajaran dari apa yang telah berlaku.Saya minta maaf kepada yang marah dengan hati ini. Wallahu a’lam.

Monday, March 14, 2011

Aku Bukan Malaikat

Luahan Hati Kecil Pemimpin Kecil
Aku sentiasa memegang prinsip manusia itu tak dilahirkan sebagai seorang yang sempurna. Hinggakan sememangnya menjadi fitrah kepada seorang makhluk Allah itu untuk melakukan kesalahan. Sebab kita bukan Malaikat mahupun Nabi-nabi yang maksum.

Dengan apa engkau pandang orang yang berdosa?
Pandangan Rahmat atau kebencian nista?
Ketahuilah hati yang membenci
Tidak akan mampu mencinta.

Sememangnya aku cukup benci kepada orang-orang yang suka terus menghukum manusia ini seolah-olah tiada lagi jalan taubat untuk manusia itu. Jangan sesekali dia lupa bahawa Allah menjadikan sesuatu itu ada pasangannya. Kalau Allah jadikan kebaikan, maka akan ada kejahatan. Dan pintu taubat itu sebagai penutup kepada kepada kejahatan, seterusnya mencetuskan kebaikan yang murni. Hukum Alam telah member pengajaran dengan proses kejadian durian yang mana pasangannya adalah manggis. Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa Allah menjadi musim durian itu beriringan dengan musim maggis. Sebab apa? Kerana durian itu sifatnya panas dan bagi menyejukkan kepanasan, Allah hadirkan kepada kita manggis yang sifatnya sejuk.
Memang tak dinafikan sama sekali bahawa Islam telah mengajar ummahnya agar saling nasihat-menasihati. Tetapi tidak dilupakan juga bahawa dalam nasihat-menasihati itu ada juga kaedah yang telah dianjurkan. Yang paling penting adalah jangan sesekali kita meninggalkan sekelumit dendam pun pada hati mad’u kita. Kalau itu yang berlaku, maka jangan lagi disesali kenapa diri tidak dihormati. Kadang-kadang kita memikirkan yang bahawa kita telah memenuhi tuntutan hadis yang meminta agar kita mencegah kemungkaran apabila melihatnya. Tetapi kita tidak pernah sedar bahawa kita bukannya mencegah kemungkaran, malahan menambah pula maksiat yang lain. Jalan yang terbaik adalah kita bersahabat terlebih dahulu dengan mad’u kita itu. Jangan kita fikir bahawa dengan sekali teguran atau marah, kita mampu mengubah maksiat menjadi ibadah. Kalau itu mampu berlaku, mustahillah dakwah Rasulullah yang sememangnya maksum mengambil masa berpuluh-puluh tahun bagi menyampaikan Islam. Persahabatan akan melahirkan ukhwah, ukhwah pula akan mewujudkan tarbiah. Melalui persahabatan barulah kita memahami sahabat kita itu. Kemudian barulah kita dapat menilai adakah perbuatan mad’u kita itu dikira maksiat dari neraca Islam mahupun dari neraca manusia semata-mata?
Islam tidak pernah menyusahkan kehidupan manusia. Tetapi manusia yang jahil itu sendiri yang menyusahkan kehidupan sejagat. Niat tidak akan sesekali menghalalkan hukum. Sudah menjadi trend semasa apabila wujud sebuah gerakan bersifat dakwah, maka kepaksaan akan timbul. Kita terlalu agresif ingin melihat sebuah maksiat itu bertukar dengan ibadah atas usaha kita agar dipuji orang. Tetapi apa yang dibalas hanyalah sebuah cacian, seguni makian dan juga sekawah kutukan. Ketika ini juga manusia hanya memikirkan bahawa dia sahaja yang betul tanpa memikirkan keadaan pihak mad’u yang menerima paksaan seruan dia. Jika diandaikan kehidupan manusia ini mudah untuk diperbetulkan, maka mustahil dakwah Rasulullah mengambil masa selama 23 tahun bagi membersihkan “ibadah-ibadah” zaman jahiliyah. Ahli-ahli gerakan Islam pula ramai yang memikirkan hanya dia yang betul. Hinggakan terdapat unsure-unsur kekerasan dalam kerja-kerja dakwahnya.
Allah mengurniakan akal yang sihat kepada makhlukNya supaya memikirkan kaedah yang terbaik dalam melakukan kerja-kerja dakwah. Bukalah matamu yang cerlang itu, lihatlah masyarakat yang kritikal ini. Mereka memerlukan murabbi yang sejati, bukannya pemaksa yang sejuta. Kaji dahulu keadaan di pihak sana, atau lebih mantap jika kita merasainya terlebih dahulu. Waallahu a’lam.