Wednesday, March 8, 2017

Selamat Hari Wanita Sedunia

8 Mac setiap tahun kita raikan hari wanita sedunia. 2017 menyaksikan tema #BeBoldForChange menjadi pilihan. Tema yang mengajak wanita untuk berani membuat perubahan. Walaupun kita di peringkat Malaysia meraikan hari wanita dlm bulan ogos dan temanya masih belum diumum. Ada kemungkinan temanya tidak jauh lari.

Berbicara soal keberanian wanita bukanlah sesuatu yang terlalu asing sebenarnya. Ini terbukti apabila di dalam Islam, muslimah di zaman Rasulullah S.A.W sudah menunjukkan keberanian mereka. Kisah Nusaibah Bin Ka'ab contohnya sudah sememangnya begitu popular sebagai kisah seorang jururawat perang yang akhirnya menjadi tentera yang melawan musuh demi agama tercinta yang dianutinya. Nusaibah Binti Ka'ab bukan sahaja bertempur seorang diri malahan turut diikuti oleh putera dan suaminya. Malah ada riwayat yang menceritakan Nusaibah Binti Ka'ab berperang sehingga terpotong tangannya.

Tapi jangan dilupakan kisah Ramlah Binti Abu Sufyan. Keberaniannya sudah terserlah semenjak beliau mula membuat keputusan memeluk agama Islam lagi. Hal ini kerana ketika dia membuat keputusan untuk memilih Islam, statusnya ketika itu adalah anak kepada seorang pembesar Musyrikin Mekah yang berkuasa, yakni Abu Sufyan yang sememangnya terkenal dgn kegarangannya ketika zaman Jahiliyyah beliau. Abu Sufyan yang merasakan dirinya begitu berkuasa, terpalit besar beliau dgn pengislaman Ramlah. Dia menjadi sangat marah sehingga kehidupan Ramlah dan suami serta anaknya Habibah sentiasa diseksa oleh kaum Kafir Quraisy.

Selepas Rasulullah S.A.W. mengarahkan para sahabat untuk berhijrah ke Habsyah, dia dan suaminya Ubaidillah Bin Jahsy berserta anak mereka Habibah turut berhijrah ke Habsyah. Di Habsyah, keteguhan hatinya terus teruji apabila ditakdirkan suaminya Ubaidillah Bin Jahsy yang asalnya seorang penganut agama Nabi Ibrahim A.S. kembali murtad dan memasuki agama Nasrani. Saat ini Ramlah berada dipersimpangan antara memilih mengikuti suaminya, kembali kepada ayahnya di Mekah atau terus kekal di Habsyah sebagai pelarian seorang diri tanpa saudara dekat. Kesan dari keteguhan Imannya, Ramlah terus memilih bersama Islam dan hidup sebagai pelarian di bumi Habsyah. Imannya telah membawa dia untuk menyerahkan masa depannya kepada Allah S.W.T.. Keadaan ini berterusanlah sehingga Allah S.W.T. mengurniakan satu rezeki yang tidak disangka-sangka olehnya, iaitu dia dipinang dan dinikahkan oleh Raja Najasyi dengan Rasulullah S.A.W..

Iktibar dari kisah Ramlah Binti Abu Sufyan ini adalah teguh bersama imannya walaupun dia sangat mencintai kedua-dua lelaki yang dekat dengannya iaitu ayahnya dan suaminya sendiri. Dia tidak takut untuk membuat perubahan di dalam kehidupannya selari dengan keyakinan dia terhadap agama Allah S.W.T yang disampaikan melalui Rasulullah S.A.W. walaupun ketika itu dia adalah puteri kepada penguasa Mekah.

Bersama wanita terbahagia aku.

Wednesday, March 30, 2016

Orang Muda....

Pena malam ini ringkas sahaja, Hanya mencelah masa ketika bergelumang dengan kerja kursus pengajian ijazahku dan melepaskan 'ketidak puashatian' dalam jiwa ini. Orang muda, Inilah topik perbincangan ringkas malam ini. Sebelum dilanjutkan lakaran pena ini, suka diingatkan buah minda ini tidak mesti tepat. Kerana apa? kerana mereka yang paling sesuai berbicara soal orang muda adalah mereka yang sudah berjaya melepasi zaman muda mereka. Dan aku masih anak muda yang kadang kala tewas dan menang dalam meredah kehidupan.

Ekonomi. Aku sedar amat keadaannya amat mengecewakan. Dengan persaingan gila-gila para peruncit dan jumlah pembelian harian yang merosot bukti ekonomi ini ada sesuatu yang tidak kenal. Untuk orang muda, kesusahan ini janganlah diambil peluang sebagai alasan. Engkau seringkali mengatakan 'susah sekarang ini nak keroje', 'keroje sekarang penat je, berapa je dapatnya' dan beberapa ungkapan lain. Jujur aku katakan, kadang-kadang kata-katamu itu hanyalah tiket untuk membenarkan kamu terus berhayun di buaian, terus menjadi penghuni bus stop, terus dengan deruman motormu ke hulu dan ke hilir. Engkau sedar ekonomi tengah teruk, seharusnya kerjamu perlu lebih dari biasa. Bukannya rehatmu lebih dari kerja. Otakmu masih lincah, gerakkannya mencari solusi kehidupanmu. Bukan terus dibekukan dengan hisapan rokok yang masih dibelikan oleh bapamu. Aku sedar kata-kataku kasar, tapi ingin sekali aku goncang tubuhmu agar cepat hadir kesedarannya.

Siang malam engkau mendengar lagu-lagu bergenre rock, pop dan metal. Tapi hidupmu rapuh dan layu seperti genre irama malaysia yang ada lemah-gemalainya. Berbangga dengan semangat kental lagu-lagu rock, walhal untuk meredah hidup pun masih berdalih. Berbangga dengan lagu-lagu metal, tapi jiwamu remuk seperti plastik.

Bangunlah orang muda, terus bekerja memang tidak menjamin rezekimu, tapi tidak bekerja lebih terjamin tiada rezekimu. Ambillah semangat nenek moyang dahulu yang terus bercucuk tanam, walaupun seringkali tanaman diganggu haiwan perosak dan perosak.

1224am
Kampung Ulu Kenas

Saturday, March 12, 2016

Perjalanan Diri Daif Ini.

Oh laman pena ini, ia kembali menjadi sarang untuk sang lebah kembali menjalinkan benang sarangnya. Kembali aku selak untuk menjenguk adakah isi gua laman ini masih boleh dicecah lantainya.
Nampaknya masih boleh.
    Selepas sekian lama mungkin ada yang bertanya kepada hilang pemilik pena ini. Penanya dibiar hingga hampr kering dakwatnya. Selepas tamat pengajian di KIAS, NILAM PURI, aku mengambil tindakan untuk terjun dan bergelumang dgn dunia keusahawanan. Penat. Itulah keadaan diriku selepas bergelumang. Berjerih payah membangunkan sebuah ternakan kambing agar mampu suatu masa nanti bergelar pemilik ladang di samping menguruskan perniagaan runcit amatlah memenatkan. Mengharapkan penghujung yg manis dan yakin dgn janji Allah SWT buat hambaNya, itulah motivasi buat diri yg daif ini. Kesan positifnya, deria-deria yang wujud di tubuh ini mula memahami keadaan sosial masyarakat dan lebih berfikiran terbuka. Maka percayalah aku bahawa ruang perniagaan ini membawa kamu kepada keadaan masyarakat. Maka, tidak peliklah bagaimana Imam Abu Hanifah pernah terlibat dgn demostrasi di zamannya dan mengapa Rasulullah SAW juga turut berniaga di usia mudanya.

Akhirnya, aku mengharapkan pilihan aku ini tepat dan secara tidak langsung dunia ini akan menjadi ruang dakwah jua. Aminn.. bertemu lagi di tulisan yang akan datang, tanpa dpt diputuskan masanya. Assalamualaikum...

Friday, June 14, 2013

Mahmud Saedon: Tokoh Kehakiman Nusantara

Ini adalah sebahagian daripada hasil penulisan tesis baru ini. Isinya bukanlah yang terbaik. Berharap ada yang ingin membaiki atau berkongsi sesuatu yang baru.

BIOGRAFI DATO PADUKA SERI SETIA PROFESSOR DR AWANG HAJI MAHMUD SAEDON BIN AWANG OTHMAN
Dato Paduka Seri Setia Professor Dr Awang Haji Mahmud Saedon bin Awang Othman ialah seorang daripada tokoh masyarakat, tokoh intelektual dan ahli akademik antara yang terbaik yang pernah dilahirkan oleh Brunei Darussalam.  Beliau merupakan seorang yang banyak menyumbangkan pemikirannya dalam pelbagai bidang seperti bidang politik, bidang kemasyarakatan, dan bidang kehakiman sendiri. Ketokohannya dalam bidang-bidang tersebut dianggap luar biasa oleh masyarakat negara ini, khususnya kepada individu yang pernah mengenali beliau secara dekat. Ketokohannya itu, menyebabkan beliau dianggap oleh masyarakat sebagai seorang genius Melayu.
Kegeniusannya dan kepintarannya terserlah apabila beliau merupakan orang pertama di tanahair memegang ijazah doktor falsafah dalam bidang syariah daripada universiti tertua di dunia, iaitu Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir[1]. Ketokohannya bukanlah sekadar terserlah di tanah air sahaja, malahan kehebatannya turut diiktiraf oleh masyarakat di luar negara apabila beliau dilantik menjadi Profesor Pelawat Sekolah Undang-undang di Universiti Queensland, Australia[2].
Professor Dr Awang Haji Mahmud Saedon telah dilahirkan pada 20 December 1943 di Kampung Padang, Brunei Darussalam. Ayahnya adalah Awang Othman Bin Pehin Orang Kaya Perdana Indera Mohammad Jair dan ibunya pula adalah Malai Marhani binti Sheikh Mahmud.[3] Beliau hanya memiliki seorang sahaja isteri dan penulis difahami bahawa isterinya adalah anak kepada seorang Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus.[4]
            Beliau adalah merupakan anak saudara kepada Shaikh A.M.Azahari, pengasas Partai Rakyat Brunei yang diharamkan dan meninggal dunia di Bogor dua minggu sebelum kematian Professor Dr Awang Haji Mahmud Saedon, maka pernah semasa remajanya, beliau menyertai parti tersebut[5]. Parti Rakyat Brunei merupakan parti yang menentang kemasukan Brunei ke dalam Persekutuan Malaysia pada tahun 1963. A.M Azahari, menerusi parti yang diasaskannya tersebut sebenarnya ingin membentuk persekutuan baru di Borneo yang menggabungkan Brunei, Sabah & Sarawak.[6]
Pendidikan
Professor Dr Awang Haji Mahmud Saedon telah menerima pendidikan awalnya pada tahun 1951 di Sekolah Melayu Sultan Muhammad Jamalul Alam (SMJA) di Bandar Brunei. Kemudian pada tahun 1955 beliau menyambung pembelajaran beliau di Government English School di Brunei. Pada tahun 1955 hingga tahun 1961, beliau menyambung pengajian di Madrasah al-Juned di Singapura. Atas dasar cintakan ilmu, beliau telah menyambung pembelajaran beliau Kolej Islam Malaya[7], Kuala Lumpur pada tahun 1962 hingga tahun 1967 sehingga mendapat College's Lower Certificate dan seterusnya Higher Certificate (First Class).
Sebaik sahaja tamat pengajian di Kolej Islam Malaya, pada tahun 1968, beliau terus terbang ke Mesir untuk menyambung pengajian di Universiti Kaherah, Mesir. Dan pada tahun 1970, beliau berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (Tafsir Hadis) daripada universiti tersebut.
Seusai memperolehi Ijazah Sarjana Muda Usuluddin, pada tahun 1971 beliau telah memohon masuk Universiti Al-Azhar untuk memperolehi Ijazah Sarjana pula. Berkat kesungguhan beliau, maka pada tahun yang sama juga beliau telah memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang Syariah dan Undang-undang, pengkhususan Siasa as-Syar’iah.
Sebelum kembali ke tanah air, beliau terus menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah di Universiti Al-Azhar juga. Dek kerana kebijaksanaan beliau, pada tahun 1976, beliau telah dianugerahkan sebagai Doktor Falsafah di dalam bidang Fiqh Muqaran.[8] Dan kejayaan yang lebih manis buat beliau khususnya, dan kita sebagai bangsa Melayu umumnya adalah beliau merupakan orang pertama di tanahair kita yang berjaya memperolehi ijazah Doktor Falsafah daripada Universiti tertuan di dunia itu.[9]
Pekerjayaan
Sekembalinya dari Mesir, seusai menamatkan pengajian, beliau tidak dibenarkan untuk memasuki Negara Brunei Darusssalam. Hal ini terjadi kerana pada tahun 1963, Almarhum Prof. Dr Mahmud Saedon yang merupakan anak saudara kepada A.M Azahari, telah melakukan pemberontakan yang menyaksikan A.M Azahari tumpas dan melarikan diri ke Bogor, Indonesia.  Maka Almarhum Prof. Dr Mahmud Saedon juga turut terkena tempiasnya
dan beliau turut diharamkan menjejakkan kaki ke Negara Brunei Darussalam.[10]
Tetapi kalau bukan disebabkan pembuangan itu,  mungkin beliau tidak akan menamatkan pengajiannya di Universiti al-Azhar dari Ijazah Sarjana Muda (Degree) (1970), Ijazah Sarjana (Master) (1972) dan sehinggalah ke tahap Doktor Falsafah (PhD) (1976).
Oleh kerana beliau tidak dapat memasuki Negera Brunei Darussalam, maka beliau telah memulakan dunia kerjaya beliau di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mulai tahun 1976 sehinggalah ke tahun 1983 sebagai Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam[11].
Selepas berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pada tahun 1984, beliau telah dilantik menjadi Pengarah Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Seterusnya menjadi pensyarah di universiti berkenaan.[12]
Pada tahun 1991, beliau telah digelar Professor yang dianugerahkan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) seterusnya membawa beliau menyandang jawatan Timbalan Dekan Kuliah Undang-undang UIAM[13] di bawah Prof. Tan Sri Ahmad Ibrahim dalam tahun 1989 hingga 1994.[14]
Sumbangan Profesor Dr. Mahmud Saedon yang membawa kepada kemajuan bidang kehakiman di Malaysia juga adalah antara individu  yang terlibat di dalam membina program Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang yang komprehensif dan bersepadu dan mengajar undang-udang awam dan undang-undang Islam.[15]
Setelah kira-kira 10 tahun berkhidmat di UIAM, beliau dititah untuk kembali ke Brunei oleh Sultan Hassanal Bolkiah pada tahun 1994.[16]
Menurut Dr. Abdurrahman Raden Aji Haqqi, Timbalan Dekan Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), yang juga merupakan bekas pensyarah UIAM pada tahun 1992 hingga tahun 2000, selepas kembali ke Brunei Darussalam, Sultan Brunei telah bertanya kepada Almarhum Prof. Dr. Mahmud Saedon, "Kenapa kamu tak pernah minta pengampunan daripada beta?". Almarhum yang terkejut dengan pertanyaan tersebut,telah menjawab "Tuanku, selama ini patik sudah 7 kali menghantar surat memohon pengampunan daripada Tuanku, tetapi tiada balasan." Kali ini Sultan Brunei pulak terkejut, "Beta tak pernah terima apa-apa surat daripada kamu". Rupa-rupanya barulah diketahui, orang yang diamanahkan oleh Almarhum Prof. Dr. Mahmud Saedon untuk menyerahkan surat beliau kepada Sultan Brunei, sebenarnya tidak pernah menyerahkan surat tersebut kerana khuatir, jika beliau diampunkan, maka beliau akan menjawat jawatan yang disandang oleh si pemegang amanah tadi. Dan ianya terbukti benar, sekembalinya almarhum ke Brunei, si pemegang amanah (yang tak menunaikan amanah ini) akhirnya menjadi orang bawahan Almarhum Prof. Dr. Mahmud Saedon.[17]
Sekembalinya almarhum ke Brunei, undang-undang Syariah di Brunei mencapai zaman kegemilangannya. Mahkamah Kadi Brunei telah ditingkatkan menjadi Mahkamah Daerah dan seterusnya lengkap dengan mahkamah tinggi dan mahkamah rayuannya.[18]
Difahamkan Brunei adalah satu-satunya negara di rantau Asia Tenggara mempunyai undang-undang Islam seperti itu dan kebanyakan orang Brunei berbangga dengan kemajuan itu dan bercita-cita untuk melihat negara itu menjadi pusat perkembangan Islam serantau. Justeru itu nama Prof. Dr. Mahmud Saedon terus menjadi sebutan sebagai orang yang penting melakukan perubahan itu.[19]
Pada ketika yang sama Sultan Brunei telah perkenan melantiknya menjadi Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan dikenali sebagai seorang yang banyak pula membuat perubahan terutama memberi peranan besar kepada warga Brunei mengetuai jabatan-jabatan di universiti itu.[20]
Rakyat Brunei sesungguhnya kagum dan besar hati atas perkhidmatan dan perubahan yang dilakukannya di dua bidang itu iaitu perundangan Islam dan kemajuan Universiti Brunei Darussalam (UBD).[21]
Bagaimana pun pada 15 Mei lalu Almarhum diminta melepaskan tugasnya sebagai Naib Censelor Universiti Brunei Darussalam (UBD) bagi menumpukan tugas sepenuh masa di Kementerian Hal Ehwal Ugama sebagai Pakar Perundangan Islam Negara Brunei Darussalam.[22]
Pada ketika yang sama Sultan Brunei telah sedia memperkenankannya menjadi Ahli Majlis Ugama Islam Brunei, Jawatankuasa Kehakiman Islam, Jawatankuasa Kawalan Kesihatan Keugamaan dan ahli MABIMS.
Beliau juga menjadi ahli Majlis Ekonomi Brunei, Majlis Pendidikan Kebangsaan, Majlis Penyelidikan. Di samping itu beliau turut terlibat dengan Lembaga Amanah Rangkaian- Rangkaian Universiti ASEAN, Lembaga Penasihat Antarabangsa Institut Pengajian Tinggi Markfield, Leicestershire, yang berada dibawah Yayasan Islam United Kingdom.[23]
Penghormatan
Dia atas kecemerlangan dan ketokohan beliau, beliau pernah diberi beberapa penghormatan. Penghormatan terbesar yang diterimanya semasa di Malaysia ialah sebagai gandingan kepada Almarhum Prof. Tan Sri Ahmad Ibrahim, kedua-duanya telah  dilantik oleh kerajaan Kelantan untuk merangka undang-undang hudud yang kini dikenali sebagai Kanun Jenayah Syariah Kelantan II.[24] Tetapi sayang kedua-duanya tidak dapat meneruskan khidmat itu kerana dihalang oleh UIAM. Bagaimana pun umat Islam di Malaysia menghargai jasanya itu.
Pada tahun 2002, beliau telah dianugerah Anugerah Individu Paling Berjasa yang membawa gelaran ‘Dato Paduka Seri Setia’ oleh Kesultanan Brunei.[25]
Pemergian
Pada hari Isnin, 13 Rabiulakhir 1423 Hijriah bersaman 24 Jun 2002, pagi itu Almarhum telah menghadiri Persidangan Majlis Agama Islam Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura ( MABIMS), di sebuah hotel di Bandar Seri Begawan. Sewaktu rehat, tiba-tiba beliau diserang sakit jantung, dan dikejarkan segera ke Rumah Sakit Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan meninggal dunia beberapa jam kemudian.[26]
Pemergian Almarhum secara mengejut pada tahun 2002 itu, di waktu usia yang masih muda (58 tahun) telah menyentak sanubari rakyat Brunei khususnya dan Nusantara umumnya. Bangsa Melayu sebenarnya telah kehilangan seorang tokoh yang dianggap sebagai pemandu, yakni tokoh yang terkehadapan untuk memimpin kemajuan Perundangan Islam.
Sebenarnya dalam masa dua hari Nusantara telah kehilangan dua tokoh syariah yang terkemuka dan sukar dicari ganti.
Ketika ratusan ribu manusia membanjiri Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia dan Surau Mustaqimah Bandar Tun Razak dan Muasasah Darul Ulum Pokok Sena, Kedah pada 23 Jun 2002 untuk memberi penghormatan kepada pemergian Dato Fadzil Noor, maka sehari selepas itu, pada 24 Jun 2002, ribuan manusia turut membajiri rumah di Jalan Muara, Kampung Tanah Jambu, Brunei Darussalam bagi menziarai jenazah Almarhum Dato Paduka Seri Setia Prof. Dr. Mahmud Saedon Awang Othman, yang ketika itu berumur 58 tahun[27].
Jumlah tetamu yang mengunjungi jenazah Dato' Fadzil  Noor itu adalah yang terbesar dalam sejarah Malaysia. Walaupun yang mengunjungi jenazah Prof. Mahmud Saedon tidak seramai yang ke pusara Dato' Fadzil, tetapi ianya adalah yang terbesar dalam sejarah Brunei sesuai dengan negara dan penduduknya yang kecil.
Dato' Fadzil adalah Presiden PAS dan Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia adalah seorang pejuang sejak muda untuk menegakkan sebuah negara dan pemerintahan Malaysia yang di dalamnya terlaksana aturan dan peraturan Islam.
Kematian Dr. Mahmud Saedon tidak begitu disedari oleh rakyat Malaysia kerana beritanya tidak tersiar di sini, tetapi berita kematian Dato' Fadzil Noor sehari sebelumnya tersebar di Brunei.
Ketika rakyat Brunei memperingati Dr. Mahmud Saedon, maka mereka merakumkan tahlil kedua-duanya dan mengira sebagai kehilangan besar kepada Nusantara khususnya perjuangan mendaulatkan syariah. Kedua-duanya bekas pelajar Al-Azhar, Mesir dan kedua-duanya adalah bekas tenaga akademik dibidang Islam.
Pemergiannya turut dirasai oleh rakyat Brunei yang berada di luar negara apabila mereka turut mengadakan bacaan tahlil dan solat ghaib untuk beliau.[28]
Pergaulannya dengan masyarakat adalah menyeluruh dari golongan elit di menara gading hingga ke akar umbi. Justeru itu di tengah lautan manusia yang menziarahi jenazahnya ialah Pengiran Perdana Wazir, Pengiran Muda Sufri Bolkiah, Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan lain-lain kerabat diraja.
Hanya seorang dari enam anaknya berada bersamanya di hari pekebumiannya. Dua lagi menuntut di England dan tiga belajar di Malaysia.[29]
Jasad Tokoh Perundangan Islam Nusantara ini telah disemadikan di Kampung Kiarong di tengah Bandar Seri Begawan, iaitu perkuburan untuk orang-orang kenamaan. Dimaklumkan Timbalan Sultan, Pengiran Perdana Wazir Muhamad Bolkiah yang juga Menteri Luar Brunei perkenan jenazahnya dipusarakan di situ.[30]



[1] Mahmud Saedon A. Othman, Undang-Undang Keterangan Islam, Ampang, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2003.
[2] Petikan artikel tulisan Subky Abdul Latiff,  Malaysia tangisi Fadzil, Brunei tangisi Mahmud Saedon, dalam Harakah, bertarikh 4 September 2002.
[3] http://nihayahsaidah-skyjamil.blogspot.com/2009/10/mahmud-saedon.html
[4] Hasil Temuramah dengan Ustaz Yaacob Bin Hj Ismail, bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau turut berkongsi bahawa tokoh adalah seorang yang peramah dan mudah mesra dengan orang lain.
[5] loc. cit., Subky Abdul Latiff, 2002.
[6] Hasnah Hussin, Mardiana Nordin, Pengajian Malaysia, Kuala Lumpur, Fajar Oxford, 2004.
[7] Dinoor.blogspot.com/2009/03/mak-rindunye.html.
[8] Mahmud Saedon A. Othman, Institut Pentadbiran Undang-Undang dan Kehakiman Islam, Ampang, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2003.
[9] Mahmud Saedon A. Othman, Undang-Undang Keterangan Islam, Ampang, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2003.
[10] Hasil Temuramah dengan Ustaz Yaacob Bin Hj Ismail, bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau sempat bertemu dan bekerja bersama-sama tokoh. Dan Ustaz Yaacob Bin Hj Ismail turut memaklumkan bahawa Prof. Dr. Mahmud Saedon adalah individu yang bertanggungjawab membawa masuknya ke UIAM.
[11] Turut disahkan oleh Ustaz Yaacob Bin Hj Ismail.
[12] Mahmud Saedon A. Othman, Institut Pentadbiran Undang-Undang dan Kehakiman Islam, Ampang, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2003.
[13]  Jurnal Undang-Undang, Vol.3, No.1, Institut Kefahaman Islam Malaysia, 1999.
[14] Abdul Monir Yaacob, Mahamad Arifin, Najibah Mohd Zin, Siti Shamsiah Md Supi, Permata Pengislahan Perundangan Islam; Biografi Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Ahmad Mohamed Ibrahim, Kuala Lumpur, MPH Group Publishing, 2007, hlm, 71.
[15] Abdul Monir Yaacob, Mahamad Arifin, Najibah Mohd Zin, Siti Shamsiah Md Supi, Permata Pengislahan Perundangan Islam; Biografi Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Ahmad Mohamed Ibrahim, Kuala Lumpur, MPH Group Publishing, 2007, hlm, 77.
[16] Hasil Temuramah dengan Ustaz Yaacob Bin Hj Ismail.
[18] Petikan artikel tulisan Subky Abdul Latiff,  Malaysia tangisi Fadzil, Brunei tangisi Mahmud Saedon, dalam Harakah, bertarikh 4 September 2002.
[19] Ibid.
[20] Ibid.
[21] Ibid.
[22] Jurnal Syariah, Jil. 7, Bil. 1, Januari 1999. Hlm 56.
[23] loc. cit.
[24] Petikan Laporan Malaysiakini.com, yang bertajuk Nik Aziz: Tangguh Hudud Kerana Amaran Persekutuan, bertarikh 25 Ogos 2012.
[25] http://nihayahsaidah-skyjamil.blogspot.com/2009/10/mahmud-saedon.html
[26] Petikan artikel tulisan Subky Abdul Latiff,  Malaysia tangisi Fadzil, Brunei tangisi Mahmud Saedon, dalam Harakah, bertarikh 4 September 2002.
[27] Ibid.
[28] Boleh merujuk kepada laporan kegiatan Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan , Jun 2002 Tahun 6 Bilangan 2 di laman web Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam.
[29] Petikan artikel tulisan Subky Abdul Latiff,  Malaysia tangisi Fadzil, Brunei tangisi Mahmud Saedon, dalam Harakah, bertarikh 4 September 2002.
[30] Ibid.


Syria: Jangan Biarkan Mereka Keseorangan

Khaibar Khaibar Ya Yahud
Jaissyu Muhammad Saufa Yahud
Ingat Khaibar Wahai Yahudi
Tentera Muhammad Sudah Datang!
Allahu Akbar!

Aku hanyalah seorang manusia yang daif lagi lemah. Aku tidak setanding apatah lagi menandingi para mujahidin FSA di Bumi Syams sana. Di kala kini mereka masih tetap utuh dengan senjata masing-masing. Aku masih utuh dengan Tab yang pasti memberi pelbagai hiburan. Lalai. Itulah aku.
Apabila menyebut perkataan Syria mungkin ada yang kurang cakna atau masih berada dibwah paras separuh sedar. Barangkali apabila menyebut perkataan Syams, mungkin ada yang sudah mula menangkap. Yang Syria dan Syams adalah tempat yang sama. Sebuah negara yang berdaulat. Merdeka pada tahun 1945. Tetapi hari ini kedaulatannya dicabuli oleh sekelompok manusia yang pastinya ingkar kepada Tuhan Yang Esa, Allah SWT. Ianya bermula apabila tibanya pemerintahan Hafeez Al-Asad yang memerintah selama 23 tahun. Diikuti anaknya kini Basyar Al-Asad (11 tahun). Seramai 84% rakyat Syria ini telah ditindas dan dibunuh. Kenapa hanya 84%  ini sahaja? Kerana 84% ini aqidah mereka berpaksikan kepada aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Manakala fahaman Hafeez Asad dan anaknya Basyar Asad adalah Syiah Nusairiyah. Syiah Nusairiyah ini menganggap bahawa pengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah halal dibunuh.
Kita umat Islam tiada sempadan geografi, tiada sempadan daerah, tiada sempadan negara. Sempadan kita adalah sempadan iman dan aqidah. Alhamdulillah hari ini, 14 Jun telah diiktiraf hari untuk Syria. Ianya amat penting agar masyarakat antarabangsa melihat kekejaman yang berlaku disana.
Aku Alhamdulillah kerana masih diberi kesedaran oleh Allah SWT untuk bersama-sama menyokong perjuangan rakyat Syria. Tindakan aku bukanlah sebagai seorang Mujahidin FSA. Tetapi hanyalah sekadar seorang pengedar risalah berkaitan Isu Syria. Kita hidup ini biarlah ada bekal yang cukup untuk dipersembahan kepada Allah SWT apabila tiba masanya nanti.

Tahniah buat rakan-rakan yang bersama-sama mempunyai kesedaran. Special thanks buat Ustaz Syahru Ramadhan yang dengan inisiatif sendirinya memupuk kesedaran dalam jiwa anak-anak muda seperti kami ini. 


Ustaz tidak memerlukan mana-mana pihak untuk menggerakkan dia, tetapi atas dasar Ukhwah Islamiyyah, dia bertindak dan bekerja SENDIRI.

Monday, June 10, 2013

Hikmah Dari Sebuah Yang Disangka Natijah

Langit masih lagi serupa semalam. Masih lagi menunjukkan kekuasaanNya. Masih lagi menangis menitiskan titik renyai yang suci airnya. Tetap terasa kehadirannya walaupun tidak lebat. Musim dia barangkali. Aku masih setia bersama selimut tebal memberian bonda dari kampung. Masih memikirkan perancangan harian untuk hari ini. Cuaca sebegini mengubah banyak perancangan semalam. Tesis. Itulah perancangan terbaik yang seharusnya aku selesaikan hari ini. Aku perlu menghabiskan segera penulisan tesis ini agar bebannya tidak dibawa ke semester mendatang.

                Semester ini memperlihatkan pelbagai ragam sahabat-sahabat yang majoriti bergelumang dengan tesis masing-masing. Aku termasuk dikalangan mereka-mereka yang terlewat hantar. Ada yang sudah tewas ketika mula-mula melangkah masuk ke gelanggang silat. Ada yang tewas apabila sudah masuk gelanggang, tetapi masih belum sempat membuka bunga. Ada yang berjaya dengan mudah merebahkan musuh. Ada yang tetap membuka langkah walaupun darah sudah melimpah dari hidung. Ada yang mantap dengan pelbagai buah pukulan tapi musuh terlalu gagah untuk direbahkan. Itulah perumpaan yang boleh aku gambarkan situasi-situasi sahabat di dalam ‘menjinakkan’ tesis masing-masing. Tahniah buat mereka yang siap tepat pada masanya dan mampu mempersembahankan hasil yang mantap.

                Tesis aku bertajuk “ Dato’ Paduka Seri Setia Professor Dr Hj. Mahmud Saedon Bin Othman: Sumbangan Beliau Terhadap Kehakiman Islam Di Malaysia”. Sebuah tajuk yang hadir tanpa aku sangka. Permulaannya aku mengesyorkan tajuk yang sama tapi tokoh yang berlainan. Tetapi tidak dipersetujui. Lantaran itu, aku menemui pensyarah untuk meminta cadangan tokoh. Ketika itu nama Dr Mahmud Saedon yang keluar dari mulutnya sambil beliau menceritakan serba sedikit kehebatannya. Kagum. Itu perasaan aku ketika itu. Tanpa banyak bicara dan karenah, aku terus bersetuju dan menghantar tajuk tersebut kepada ketua jabatan dan terus diluluskan tajuk tersebut. Penyelianya adalah pensyarah yang memberi cadangan tadi. Aku lega dengan pengkhabaran tersebut dan menyangka sebuah perjalanan menyiapkan tesis yang tidak rumit akan terlakar.

                 Tetapi impian rupanya hanyalah indah khabar dari rupa. Sampai di rumah, carian awal di internet memperlihatkan Dr Mahmud Saedon ada warganegara Brunei. Nafas perlahan seketika. Tekedu. Natijahnya, kertas cadangan tesis masih diperingkat awang-awangan. Rujukan masih terlalu sikit. Tambahan pula masih belum ada sesiapa penulis di Malaysia yang pernah menceritakan biografinya. Hanya ada satu sahaja buku yang menceritakan mengenai beliau, itupun hanya terdapat di Brunei. Habis idea aku ikhtiarkan untuk mendapatkan buku tersebut. Termasuk cuba ‘add’ beberapa warga Brunei yang ada di alam maya. Hasilnya amat mengecewakan. Buntu. Itulah fikiranku tika itu. Sebaik selesai final exam. Aku meminggirkan segala kemungkinan dan kerisauan di hati. Penulisan terus dilakukan. Cuba sedaya mungkin buat yang terbaik dengan bahan yang agak sedikit.

                Penyelia. Ini babak-babak penting di dalam perjalananku menyiapkan tesis. Pertemuan pertama yang tidak seindah seperti orang bercinta yang mula-mula bertemu. 90% penulisan perlu diubah dan dibaiki. Luluh jiwa tika itu. Tambahan perlu ketika itu adalah waktu cuti. Mula membilang hari memikirkan cuti-cuti yang masih berbasi. Segala kata-kata berkaitan ke’syadid’dan penyelia yang pernah berbunyi sebelum ini kembali mengetuk gegendang telingaku untuk memaklumkan semula. Penyelasan mengundang seketika apabila melihat rakan-rakan lain yang sekali hantar sudah selesai semuanya. Semangat dan tawakkal. Itu yang masih setia bersama. Strategi baru dilakarkan semula untuk menjinakkan tesis ini. Pertemua kedua diatur semula. Langkah dan bunga dibuka dan ditarikan dengan berhati-hati agar tidak cacat di berbola mata musuh. Buah pertama dihantar. Sekali tepis musuh sudah membalas dengan buah yang lebih berbisa. 2 buah buku rujukan yang aku guna perlu dibaca semula dalam masa 2hari dan dibentangkan dihadapannya. Allahuakbar. Itu sahaja yang disebutkan dibibirku. Langkah pulang tidak lagi kelihatan seperti pendekar, tapi hanyalah umpama ayam jantan yang cedera sebelah kakinya. Cuti hujung minggu yang padat hanya membenarkan aku mentelaah sebuah buku sahaja. Pertemuan ketiga tetap diatur. Langkah tetap seperti pendekar walaupun tahu keris yang dibawa agak sumbing sedikit. Seni tari dan langkah pendekar dipersembahkan dengan penuh keyakinan agar tidak nampak kesumbingannya. Musuh nampak seperti mudah dijinakkan kali ini. Ya, tekaanku tepat. Musuh berjaya dijinakkan. Akhirnya, tesis berjaya disiapkan dan boleh dijilidkan. Lucu mengingatkan kembali apabila mulut ini menuturkan kata-kata rayuan apa
bila tidak mampu membaca kedua-dua buah buku. Penyelia memaklumkan tesisku sudah lulus tapi belum boleh diberi ‘A’. Itu sudah memadai buatku ketika ini.

                Tapi, kesabaran dan kesungguhan pasti Allah akan balas. Keputusan final exam yang keluar menunjukkan tesisku berjaya memberi sebutir ‘A’ buatku. Senyuman diwajah dan senangnya hati hanya Allah SWT yang tahu tahap kemanisannya. Hari ini aku kembali meramahkan diri bertemu penyelia yang pernah dianggap musuh yang amat sukar untuk direbahkan sebelum ini. Pertemuan yang istimewa ini membawa kepada sebuah hadiah yang istimewa. Kebetulan beliau baru pulang dari Umrah. Sebuah buku terbitan dari Arab Saudi yang telah dialih bahasakan ke bahasa Indonesia , kecil tapi besar nilainya buat hamba yang doif ilmunya seperti aku. Terima kasih buat beliau dan aku doakan kesejahteraan buatnya dunia dan akhirat.


P/S: Kita perlu yakin untuk melalui denai yang kita nampak dan kita fikir amat penuh sekali dengan onar dan duri. Kerana pemikiran kita yang kuat ikatannya dengan hati. Apabila akal terlebih dahulu tewas, bagaimana pula hati ingin cekal?. Kita belum tahu apa takdir buat kita. Islam mengajar kita untuk terus menambah sebiji anak benih walaupun kita nampak jelas tanda esok kiamat yang berlaku.Wallahua’lam.

Wednesday, April 24, 2013

Kita Masih Disini


(Khas buat teman-teman dan keluarga Mohd Zakaria Bin Khalid
yang meninggalkan kita pada 24 April 2013)

Hari Ini dia pergi,
Esok juga dia akan pergi,
Dia pergi adalah peringatan buat sahabat.
Lusa juga dia tetap pergi jua.
Dan dia tetap akan pergi pada hari-hari mendatang,
Hanya itu ketentuan buat dia.

Kita masih disini,
Kita masih belum mengikuti dia,
Kenapa?
Saatnya belum tiba.

Kita masih berdiri,
Kita masih sibuk menyeka rembesan jernih,
Kenapa?
Kerana kita lupa lagi alpa.

Biarkan dia pergi,
Sedarlah kita masih disini, untuk terus berjuang,
Bukan untuk menyeka titisan jernih air mata,
Tapi untuk diyakini takdirNya, bukan diragu.

Rahman Al-Farisi.
Nilam Puri
25 April 2013