Monday, January 31, 2011

Syeikh al-Qardawi Seru Mubarak Undur

Ketua Kesatuan Antarabangsa Cendekiawan Muslim, Syeikh Yusuf al-Qaradawi, meminta Presiden Mesir Hosni Mubarak agar mengangkat kaki secara pilihan sebelum beliau akan pergi secara paksaan. Beliau perlu mengambil pengajaran dari nasib Presiden Tunisia, Zine el Abidine Ben Ali. Syeikh Yusuf al-Qaradawi menggambarkan sistem pemerintahan Mesir sebagai tidak mengerti dan tidak berfikir.Ianya buta tidak melihat, tuli tidak mendengar, serta bodoh tidak memahami.

Al-Qardhawi menyeru Mubarak melalui al-Jazeera katanya, "Undurlah, wahai Mubarak, jika ada di hatimu sedikit rasa belas kasih, atau ada dalam kepalamu sedikit akal yang berfikir". Beliau meminta Mubarak agar merasa belas kasihan terhadap dirinya sendiri serta ahli keluarganya. Kuasa kerajaan itu jika dianggap sebagai peluang keemasan maka cukuplah tempoh tiga puluh tahun itu, dan jika dianggap sebagai hukuman denda pula, maka cukuplah juga tempoh tiga puluh tahun itu.

Al-Qaradhawi menyarankan Mubarak agar melepaskan kepimpinan serta meninggalkan Mesir yang sudah kerugian dan kehilangan wangberbilion-bilion. "Jangan kamu hancurkannya dan duduk di atas kehancuran tersebut. Pergilah, wahai Mubarak". Beliau menambah bahawa puluhan pemuda telah gugur dalam tempoh satu hari dalam menuntut hak mereka, "Tapi kamu dan askar kamu pula telah membalas mereka dengan peluru hidup."

Al-Qaradawi menambah, "Tidak ada lagi tempat untukmu, wahai Mubarak. Saya minta kamu untuk keluar mengangkat kaki", untuk diadili dan dibicara sesudah itu oleh mahkamah awam dan bukannya oleh mahkamah tentera, "yang kamu bina untuk mendakwa pihak lawanmu, lalu kamu menghukum mereka dengan hukuman yang zalim", di bawah undang-undang darurat, dan sesungguhnya "bagi orang zalim itu ada kesudahnnya, dan tidak ada seorang pun yang mampu untuk melawan sejarah. "

Syeikh al-Qaradawi menganggap bahawa Mubarak tidak memahami mesej dari rakyat, malah keluar dengan ucapan yang menunjukkan bahawa ia tidak merasakan apa yang terjadi. Dia berada "dalam dunia yang bukan dunia kita, tidak merasa kelaparan orang yang lapar, atau kesakitan orang yang terluka," dan mempersoalkan pula faedah untuk membubarkan kerajaan, sementara ia tidak mengatakan apa yang seharusnya dikatakan iaitu membubarkan Dewan Syura dan Dewan Rakyat serta menghapuskan undang-undang darurat.

Rakyat dan Tentera

Dalam ucapannya, al-Qaradhawi mengalu-alukan rakyat Mesir atas kebangkitan mereka melawan situasi korup yang telah banyak mereka bersabar terhadapnya, seperti kesabaran mereka melihat ramai orang mengaut kekayaan negara serta menikmati keuntungannya, sedangkan mereka tidak mampu mencari makanan harian mereka.

Beliau menggambarkan kebangkitan rakyat Mesir sebagai pemberontakan secara aman, tidak ada kayu mahupun senjata, bagi menuntut kehidupan yang lebih baik serta rezeki yang halal, akan tetapi mereka dikejutkan pula dengan peluru hidup dari pihak pengawal keamanan, menyebabkan puluhan orang terbunuh.

Beliau menekankan bahawa para penunjuk perasaan yang sebenar tidak bertanggungjawab menyertai sebarang kes PENCURIAN ATAU PENJARAHAN. Beliau menasihati mereka, "Janganlah kamu sekali-kali memanjangkan tangan pada mana-mana harta milik institusi awam ataupun swasta, kerana itu adalah HARAM."

Beliau turut menyatakan rasa bangga dan hormat terhadap tentera Mesir serta menyeru mereka untuk melindungi negara Mesir di masa mendatang tanpa campur tangan dalam hal pemerintahan. Beliau menuntut pihak tentera agar menyerahkan hal kuasa pemerintahan kepada rakyat dan pemilihan presiden dibuat sesuai dengan dasar-dasar syura dan juga demokrasi.

Sumber: al-Jazeera.

Ulasan:

Kebangkitan rakyat Tunisia dan Mesir menuntut sistem pemerintahan yang lebih bersih dan adil patut dijadikan iktibar oleh pemimpin-pemimpin dunia Arab dan juga dunia Islam secara umum..

Tuesday, January 11, 2011

HUKUM BULU KUCING

Ramai yang bertanya kepada saya apakah hukum bulu kucing yang melekat pada badan ketika bersolat? Jadi bagi menjawab soalan hamba-hamba Allah yang tinggi semangat ingin tahunya ini, saya postkan pada kali ini hukum berkenaan.

Menurut mazhab Syafi'i dan Hanbali, bulu kucing yang tertanggal dari tubuh badannya adalah najis. Bukan setakat kucing, bahkan bulu binatang yang tidak halal dimakan juga adalah najis apabila tertanggal dari tubuhnya, sama ada semasa hidup mahupun dalam keadaan mati. Namun menurut Hanafi dan Maliki, ia adalah suci.

Binatang Yang Tidak Halal Dimakan Dagingnya


JIka bulu binatang yang tidak halal dimakan seperti kucing, monyet, musang, dan sebagainya terpisah daripada badannya ketika binatang itu masih hidup, maka bulu tersebut adalah najis, apatah lagi setelah binatang itu mati. Demikianlah juga anggota-anggotanya yang lain jika tertanggal daripada badannya adalah dikira bangkai juga.

Hubungannya Dengan Solat

Menurut hukum syara', syarat sah mengerjakan solat itu hendaklah bersih daripada segala najis sama ada pada pakaian, tubuh badan mahupun tempat solat itu. Oleh sebab itu, jika terdapat bulu binatang yang dihukumkan sebgai najis pada pakaian, tubuh badan dan tempat solat, maka sembahyang itu dikira tidak sah kerana menanggung sesuatu yang dikira najis. Kecuali jika bulu yang najis itu sedikit, seperti sehelai ataupun dua, kerana ia dimaafkan. Melainkan bului babi dan anjing yang tetap najis hukumnya walaupun dalam keadaan sedikit.

Sunday, January 2, 2011

Mengapa aku dihidupkan du dunia ini?

Untuk sujud menyembah Allah...

Firman Allah, maksudnya: "Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar." (Surah al-Bayyinah 5:98)


Untuk aku sebagai Khalifah di muka bumi ini...

Firman Allah, maksudnya: "Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Dia hendak mengujikan kamu pada apa yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksa-Nya dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihi." (Surah al-An'am 6:165)


Untuk aku menyeru kebaikan, membanteras kejahatan...

Firman Allah, maksudnya: "Dan hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam)dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya." (Surah Ali 'Imran 3:104)


Allah tidak jadikan aku sia-sia...

Firman Allah, maksudnya: "Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu ( daripada tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada kami?" (Surah al-Mu'minun 23:115)