Sunday, December 4, 2011

Masalah dan Kengkangan yang Menghalang Kemajuan Sistem Pengurusan Islam

Era modenisasi ini sistem pengurusan Islam sudah mula menambat hati masyarakat untuk menjadi sistem pengurusan hidup atau organisasi mereka seusai dinafikan kewujudan berabad yang lalu. Tetapi jumlah mereka yang memilih sistem pengurusan Islam ini adalah masih terlalu jauh berbanding mereka yang memilih sistem pengurusan konversional. Malah lebih menyedihkan lagi apabila sistem pengurusan Islam ini juga turut tidak digunakan oleh Negara-negara yang membawa nama Islam di pentas antarabangsa. Sebagai contoh adalah Arab Saudi yang merupakan negara dimana terletaknya tempat lahir Islam, yakni Makkah Al-Mukarramah dan Madinah Al-Munawwarah juga turut mengamalkan sistem pengurusan konversional secara majoritinya. Bukan itu sahaja, malahan Mesir, Jordan, Syria, Yaman dan beberapa negara Timur Tengah lagi yang telah melahirkan jutaan ilmuwan Islam yang tersebar diseluruh dunia juga turut tidak menggunakan sistem pengurusan Islam di dalam pentadbiran mereka. Sistem Pengurusan Islam yang berpaksikan tauhid kepada Allah SWT merupakan satu sistem yang lengkap yang menghubungkan manusia dengan kehidupannya. Sistem pengurusan Islam bukanlah seperti sistem pengurusan konversional yang diasaskan oleh individu-individu yang tertentu, tetapi sistem pengurusan Islam adalah satu sistem yang diasaskan sendiri oleh pencipta manusia,iaitu Allah SWT yang telah disampaikan melalui Al-Quran dan As-Sunnah. Secara umumnya sistem pengurusan Islam adalah sistem yang turut menitik beratkan aspek jasmani, rohani dan akal. Ia jauh sama sekali dengan sistem pengurusan konversional yang hanya berpaksikan kepada keuntungan material semata-mata dan dalam masa yang sama telah mencabuli aspek agama, etika dan nilai, serta pembangunan insan. Keseluruhannya jelas menunjukkan bahawa sistem pengurusan Islam adalah jauh lebih baik daripada sistem pengurusan konversional. Persoalan yang timbul sekarang adalah apakah yang menjadi masalah dan kekangan kepada kemajuan Sistem Pengurusan Islam berbanding dengan sistem Pengurusan Konvensional pada zaman moden?
Faktor dominan yang menjadi masalah dan kengkangan kepada kemajuan Sistem Pengurusan Islam adalah faktor politik dan polisi kerajaan. Politik dan polisi kerajaan menjadi penghalang utama kerana ia adalah perkara yang paling penting dalam sesebuah negara yang berdaulat dan menjadi rujukan utama ketika proses pentadbiran dilakukan. Polisi kerajaan juga turut berkait rapat dengan siapa yang memerintah kerajaan ketika itu. Jika bagus pemerintahnya, maka bagus jugalah polisi kerajaannya. Sebegitu jugalah jika sebalik. Majoriti kerajaan masakini dikuasai oleh golongan sekular yang terpengaruh dengan kejayaan-kejayaan ekonomi Barat. Apabila golongan pemerintah yang sepatutnya mengamalkan sistem pengurusan Islam terlebih dahulu mula condong kearah sistem-sistem Barat yang hanya nampak berjaya dari fizikal semata-mata, bagaimana mereka ingin tertarik dengan sistem pengurusan Islam. Sebagai contoh adalah organisasi Islam sendiri yang mana ahli-ahlinya tidak pun berusaha mengamalkan sistem pengurusan Islam yang paling utama iaitu institusi khilafah. Apabila institusi yang paling utama tidak terlaksana, maka ia turut meruntuhkan prinsip-prinsip Islam yang lain juga. Jelaslah disini bahawa faktor politik dan polisi sesebuah kerajaan merupakan faktor yang paling dominan dalam menentukan sejauh mana kemajuan sistem pengurusan Islam.
Selain itu, faktor keyakinan dan sosio-budaya juga memainkan peranan dalam kemajuan sistem pengurusan Islam. Setelah kejatuhan khalifah terakhir umat Islam, iaitu Khalifah Uthmaniyyah pada tahun 1924 telah menyebabkan majoriti negara umat Islam mula dijajah satu demi satu oleh kuasa-kuasa barat. Walaupun mereka tidak dijajah secara fizikal, tetapi mereka sebenarnya telah terjajah dengan ideologi-ideologi barat yang telah meracuni pemikiran mereka. Hari demi hari mereka telah disogokkan dengan berita-berita kehebatan barat yang secara tak langsung menyebabkan mereka lebih yakin dengan sistem-sistem barat berbanding sistem-sistem Islam. Mereka juga mula medakwa bahawa kejayaan hanya akan diperolehi jika menggunakan sistem-sistem barat yang dikatakan bersifat moden. Lebih memerikkan lagi adalah apabila ada pihak-pihak tertentu yang mendakwa bahawa apabila sesebuah negara menggunakan sistem Islam, sebenarnya kita telah membawa negara tersebut ke dalam zaman yang kolot. Buktinya adalah apabila mereka hanya akan menggunakan teori sistem pengurusan konversional seperti sistem riba di dalam pengurusan sesebuah bank walaupun sudah ramai ulama’ dunia yang mengharamkannya. Jelaslah bahawa mereka belum yakin bahawa sistem pengurusan Islam mampu menjadi sistem pengurusan yang utama.
Faktor lain juga yang menghalang kemajuan sistem pengurusan Islam adalah kurangnya kajian ilmiah dan kepakaran yang ramai dalam sistem pengurusan Islam. Memang tidak dapat dinafikan bahawa begitu banyak institusi pengajian tinggi yang menawarkan kursus pengurusan untuk mahasiswa-mahasiswa sekarang. Namun yang menjadi masalah sekarang adalah apabila sukatan pembelajaran mereka masih lagi menggunakan sukatan pelajaran yang diasaskan oleh tokoh-tokoh dalam bidang pengurusan konversional. Ia secara tak langsung menyebabkan kajian ilmiah yang berkaitan sistem pengurusan Islam kurang kerana mereka lebih terpengaruh dengan sistem pengurusan barat. Bukan itu sahaja, malahan lebih mengecewakan apabila kita kekurangan kepakaran dalam bidang pengurusan Islam. Contohnya adalah terdapat beberapa pelopor yang tidak asing dalam bidang pengurusan konversional iaitu, Robert Owen dan Charles Babbage hinggakan teori-teori mereka menjadi falsafah kepada pemimpin-pemimpin utama dunia dan juga para pengurus dan pentadbir sekarang. Institusi pengajian tinggi Islam disarankan agar mereka mula memperkenalkan kursus pengurusan Islam agar bertambah kepakaran dan juga kajian ilmiah yang berkaitan sistem pengurusan seterusnya sebagai persediaan ke arah menjadikan sistem pengurusan Islam sebagai sebuah sistem pengurusan yang utama dimana- mana negara di seluruh dunia.
Masalah dan kengkangan lain yang perlu kita hadapi untuk memajukan sistem pengurusan Islam adalah menongkah dengan jayanya cabaran abad ke-21 yang kian mencabar ini. Perkembangan dunia teknologi maklumat yang semakin rancak ini merupakan senjata senyap yang melemahkan atau mematikan usaha-usaha untuk memajukan sistem pengurusan Islam. Dunia teknologi maklumat sekarang yang sudah pastinya dikuasai dan dipimpin oleh dunia Barat ini semestinya telah membantu memperkemaskan sistem pengurusan konversional agar ianya kekal menjadi pilihan utama masyarakat. Sebagai contoh penciptaan perbankan internet yang diterajui oleh bank-bank konversional telah banyak memudahkan masyarakat seterusnya meningkat sokongan masyarakat terhadap sistem pengurusan konversional. Ilmuwan-ilmuwan seharusnya sudah mula mencipta teknologi maklumat yang mampu menyokong sistem pengurusan konversional agar kita dapat terus menyaingi sistem pengurusan konversional.
Kesimpulannya, setiap masalah dan kengkangan yang menghalang kemajuan sistem pengurusan Islam ini sebenarnya saling berkait rapat dan dapat diatasi apabila semua pihak yang terlibat terus sama-sama berusaha memperjuangkan sistem pengurusan Islam agar menjadi satu sistem pengurusan yang utama.

No comments:

Post a Comment