Wednesday, April 24, 2013

Kita Masih Disini


(Khas buat teman-teman dan keluarga Mohd Zakaria Bin Khalid
yang meninggalkan kita pada 24 April 2013)

Hari Ini dia pergi,
Esok juga dia akan pergi,
Dia pergi adalah peringatan buat sahabat.
Lusa juga dia tetap pergi jua.
Dan dia tetap akan pergi pada hari-hari mendatang,
Hanya itu ketentuan buat dia.

Kita masih disini,
Kita masih belum mengikuti dia,
Kenapa?
Saatnya belum tiba.

Kita masih berdiri,
Kita masih sibuk menyeka rembesan jernih,
Kenapa?
Kerana kita lupa lagi alpa.

Biarkan dia pergi,
Sedarlah kita masih disini, untuk terus berjuang,
Bukan untuk menyeka titisan jernih air mata,
Tapi untuk diyakini takdirNya, bukan diragu.

Rahman Al-Farisi.
Nilam Puri
25 April 2013

Sunday, March 10, 2013

Aku Anak Bangsa Timur

Seandainya sisi inci ruang blog ini kita andaikan sebagai sebuah rumah, sudah pasti dibucu-bucunya sudah terbina istana kayangan buat Sang Labah-labah yang kita namakan kediamannya dengan Istana Sawang. Tidak mustahil juga Sang Labah-labah juga berjaya membina jambatan gantung ditengah-tengahnya. Barangkali jambatannya mampu untuk menandingi kehebatan Jambatan Pulau Pinang yang gah merentas lautan.  

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Apabila kita menyentuh soal ketimuran, pasti persoalan kesopanan dan kesusilaan jua akan memunculkan diri. Seharusnya kita sebagai manusia dan hamba Allah yang mendiami kawasan ketimuran, sudah pasti perhiasan baju sopan dan songket adab akan menghiasi setiap inci tubuh kita.  

Timur dan sopan tidak akan diumpamakan seperti belangkas di belantara jika nenek moyang kita dahulu tidak tinggi nilai adabnya. Dimana silap kita sehingga nilai adab itu makin menjauh dari tanah damai kita. Barangkali sejarah yang silap bercerita. Mungkin sejarah hanya menekankan kepahlawanan Hang Jebat dan Dato' Maharajalela atau perjuang-perjuang yang lain sehingga lupa hendak menyelitkan soal adab dan nilai mereka.  

Melaka tidak mungkin akan melahirkan para perjuang terulung seandainya anak bangsa mereka tidak diperkosa oleh kebiadaban bangsa Barat. Dato Maharajalela tidak akan merancang pembunuhan J.W.W. Birch seandainya nilai kesopanan bangsa Melayu Perak tidak disentuh oleh Barat yang kurang susilanya. Golongan agama seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy dan angkatannya tidak akan menentang pemerintahan Jepun, jika Jepun tidak mencalitkan calitan biadabnya di tanah bangsa ini. Haji Ahmad Fuad Hassan tidak akan mengumpulkan para ulama dari seluruh semenanjung jika tiada pihak yang cuba merosakkan kesucian Islam di tanah merdeka ini.  

Secara mudahnya semua para perjuang terdahulu, budi dan jasa mereka bukan kerana nama mahupun pangkat. Tetapi mereka bangkit dan mengorak langkah hanyalah untuk mempertahankan nilai kesopanan dan kesusilaan yang sudah sedia maklum sebati dengan penghuni tanah timur ini.  

Tapi, hari ini kita lupa pada budi dan jasa mereka. Nilai kesopanan dan kesusilaan yang ada kita tidak hargai. Kita biarkan ia hakis dan terus terhakis. Bodoh. Kesian para pejuang terdahulu. Mereka sanggup bergadai nyawa supaya harta kesopanan dan kesusilaan ini akan terus mekar dan dapat dikecapi oleh generasi seterusnya. Tetapi apa yang kita buat?  

Untuk melihat bangsa Barat yang biadab, kita tidak lagi perlu untuk sampai ke United Kingdom, USA,mahupun negara Amerika Latin, cukup melihat ditanah bangsa sendiri sudah ramai klon-klon bangsa barat yang ada. Jika sebelum ini kita biasa dengar orang-orang kampung adalah golongan yang kuat berpegang pada ajaran agama dan tinggi nilai ketimurannya, tapi hari ini masihkah kita dapat menemui golongang tersebut di kampung-kampung? Pada generasi muda-mudinya lagilah jauh sama sekali tidak akan ditemui.  

Beradab sopan dan menjaga kesusilaan bukanlah warisan budaya Melayu semata-mata. Tetapi yang lebih utama dan penting ianya WAJIB sebagai tuntutan ajaran Islam pada ummahnya. Tapi hari ini, kita bukan sahaja lupakan budaya bangsa, tetapi yang lebih parah, kita lupa pada agama kita. Malahan bagi mereka yang sibuk berjuang atas nama bangsa juga ada yang kurang nilai sopan dan susilanya. Wahai sahabatku, bangsa Melayu tidak akan nilai dan kemuliaannya jika sekadar pada kesopanan dan kesusilaannya, tetapi bangsa ini akan terus maju dan mulia kerana agama Islam yang ada pada bangsanya.

#Berubahlah selagi Allah SWT memberi peluang dan masa.

Kebaya Perak

Sejak dulu perempuan Perak berkebaya
sejak sunti diajar melangkah sopan
kebaya pendek gaya basahan
keluar berkebaya panjang labuh ke betis
berpadan sarung corak Muar atau tenun Bugis.  

Cekap potongan kebaya
berpesak dan berkekek sirih
lengan besar terkembang
di bahu melambai selendang
kain lima songket Patani
sopan beralun ke majlis undangan
tidak jemu mata memandang  

Kebaya lengkap kerongsang tiga
sebutir ibu dua anak
tanda perempuan sudah berpunya
jangan tersalah sikap menggoda
atau tersalah cakap
sungguhlah biadab.  

Siti Zainon Ismail
5 JULAI 2012

Saturday, December 29, 2012

Jangan Asal Berduit...



“Assalamualaikum, mak, ayah”. Kataku pada mak ayah sambil kaki sedang melangkah menaiki kereta ketika ayah dan mak menjemputku di Stesen Bas Kuala Kangsar ketika cuti minggu lalu.
Menjemput aku apabila aku pulang ke kampung dengan menaiki bas adalah rutin mak dan ayah. Pernah sekali aku cuba menyembunyikan kepulanganku ke kampung. Dengan niat supaya aku berjaya untuk menaiki bas lain terus ke kampung. Tapi, perancangan Allah itu lebih baik, sekonyong-konyong ketika di dalam bas, ketika perjalanan berbaki satu jam, mak aku telah menelefon aku. Sebaik sahaja berbola mata melihat panggilan masuk daripada ‘Emak’, otak terus pantas memproses supaya mencari helah untuk memberitahu keberadaanku, tetapi niat kembali utk tidak memberi helah. Sampai sahaja di stesen bas, raut suci muka emak sudah terpampang dihadapanku dengan seraut senyum yang menenangkan. Lantas aku membalas senyuman mak dengan sedikit gelak tawa. Lucu apabila, perancangan yang hampir berjaya, gagal akhirnya. Itulah hebatnya naluri seorang ibu.

Ketika di dalam perjalanan pulang ke rumah, ketika itu jam menunjukkan pukul 4.00pagi. Keadaan begitu sunyi lagi sepi. Ayah telah dalam pemanduannya, walaupun aku pasti ayah sebenarnya letih dan mengantuk. Ketika suasana sunyi itu, tiba-tiba ibuku bertanya untuk memecahkan kesunyian.

“Faris, balik ni berapa lama?, bila balik sana”

“Aik, baru sampai je, mak dah tanya balik bila? Macam…..” Balas aku dengan sengaja tidak menghabiskan ayat akhirnya. Aku pasti mak mengerti.

“Eh, xdelah. Kalau boleh mak xnak pun kamu balik sana dah, ini kata cuti sebulan, tapi dengo kabo macam sekejap sangat baliknya” ibuku membalas.

“Maaflah mak, kewajipan anak mak untuk membantu masyarakat.” Aku cuba untuk memberi alasan. Walaupun aku merasakan alasan ini tidak cukup kuat.

“Ermm, yela, membantu mak bukan kewajipan ke?” emakku cuba menguji aku.

“Ya, kewajipan juga.” Aku menjwab soalan emak dgn nada yang agak sayu. Bukan sedih. Kecewa. Itulah perasaan yang membadai jiwaku tika itu. Memang benar apa kata emak. Membantu emak dan ayah adalah kewajipan. Tapi aku yang sentiasa salah dalam tindak-tandukku. Dek kerana ketaksuban diri yang keterlaluan, aku lupa pada tanggungjawabku yang lain. Mata hati mula menjadi buta menilai dan memahami ilmu.

***

“Faris, nak ikut mak ngan ayah ke kebun ke?” Ibuku mempelawaku ketika dia ingin bersiap ke kebun.

Kebun bukanlah sesuatu yang asing dalam keluargaku. Pantang ada kelapangan walaupun seketika cuma, pasti kami akan menjenguk kebun-kebun yang ada. Ada yang meriah dengan hasil tanamannya, ada juga yang meriah dengan semak samunnya. Itulah, cita-cita melangit, tapi tenaga sekerat.

Pagi itu aku meraikan pelawaan ibu untuk ikut bersama ke kebun. Destinasinya aku sudah pasti kebun yang mana dan apa kerja yang perlu dilakukan. Kerana itulah antara tujuan aku pulang ke kampung seketika. Menjadi anak kampung menyebabkan kami begitu menghargai sumbangan dan peranan kebun.

“Kamu pernah sampai tak tanah Pak Cik Daud kat seberang sana.” Ibu bertanya sambil mulut menunjuk kepada arah kebun tersebut.

“Kalo tak silap, last sekali pergi sana masa tingkatan 2 dahulu,” balasku.

“Kena jual dah kebun tu baru ni, tapi bukan Pak Cik Daud la yang jualkannya, anaknya yang sulong tu jualkan.” Ayahku menyampuk secara tiba-tiba setelah menyepi sepanjang perjalanan kami ke kebun.



Aku diam. Otakku mula membawa daya pemikiranku teringat kepada novel karya Aminah Mokhtar yang bertajuk Seteguh Fikrah Saleha. Novel tersebut mencerita bagaimana nasib sebuah keluarga yang dahulu moyang mereka adalah jutawan hartanah yang dihormati oleh bangsa lain, tetapi kini keturunan mereka telah merempat di bumi sendiri. Puncanya dek kerana sikap mereka yang rakus untuk menjadi kaya dengan sekelip mata. Akhirnya, muncullah Saleha yang mewarisi semangat datuk moyang mereka dan berusaha untuk mengutip semula hak mereka yang dijual oleh sepupu-sepupunya.

Aku bukannya ingin menjadi seperti watak Saleha dalam novel tersebut. Cuma, sedih apabila mengenangkan nasib sebuah bangsa. Sebuah bangsa yang tidak mustahil akan hilang tempat berteduh. Sebuah bangsa yang nenek moyang mereka dahulu adalah pemilik mutlak tanah besar melayu ini. Tetapi kini, satu persatu ruang tanah ini telah diambil oleh bangsa pendatang. Bangsa yang sebelum ini hanya bersifat penumpang di bumi damai ini, kini, merakalah tuan kepada separuh bumi damai ini.

Aku juga bukanlah perjuang kebangsaan yang berfikrah nasionalisma semata-mata. Tapi kecewa, sedih dan marah melihat bangsa sendiri yang pentingnya seagama denganku merempat seolah-olah kehidupan tidak lagi milik mereka. Seolah-olah tanah di bumi damai ini bukan Tuhan mereka yang punya. Bangsaku sudah berabad ditaklif secara tidak sengaja oleh masyarakat umum sebagai public figure kepada Islam. Tapia pa yang berlaku?. Jahil. Mungkin itu sebabnya mereka tidak sedar dengan kehormatan yang diberi. Bangga diri. Juga faktor mereka tidak sedar dengan dengan kehormatan yang diberi. Mereka fikir taklifan itu diberi kerana bangsa mereka adalah bangsa yang hebat. Bangsa yang bertamadun. Bangsa yang berprestasi tinggi. Ya. Memang benar bangsa Melayu adalah bangsa yang hebat, bertamadun dan berprestasi tinggi. Tapi mereka menjadi bangsa yang hebat, bertamadun dan berprestasi tinggi adalah menumpang kehebatan dan kemuliaan Islam. Hebatnya bangsa Melayu adalah kerana Islam. Agama yang menjaga bangsa. Bukannya bangsa yang menjaga agama.



“Kesiankan pada pak cik Daud, mak.” Kataku kepada emak.

“Kenapa kamu kata macam tu?” tanya emakku.

“Betul la. Susah payah pak cik Daud menjaga amanah nenek moyang dia mewarisi tanah subur itu, tapi apabila sampai kepada anak-anak yang tak pernah kenal jerih-perih nenek moyang meneroka dahulu, tiba-tiba dilepaskan begitu sahaja. Siapa tahu masa teroka tanah itu dahulu ada yang sampai korban nyawa.”

“Siapa yang beli tanah tu emak?” tanyaku.

“Dengar khabarnya Ah Soi, tauke bengkel kerete kat Kuala tu.”

“Hah. Betul ke? Cina yang beli? Itu bukan kawasan orang Melayu ke?”

“Ya. Memang tu kampung Melayu pun.”

“Kalo ye pun nak jual, janganlah sampai hilang harta bangsa sendiri. Orang dulu-dulu usahakan berpuluh-puluh ekar tanah, supaya sampai kepada anak cucunya dapat dimanfaatkan dan diperluaskan lagi. Tapi, apa yang tinggal sekarang? Makin kecil luasnya ada lah. Kita suka sangat jual tanah yang berekar-ekar dikampung untuk mendapatkan tanah yang sejengkal di bandar.” Aku berhujah dengan sedikit emosi.

“ Cina memanglah nak beli tanah orang Melayu ni. Sebab mereka sedar yang mereka perlu kuasai ekonomi supaya mereka mendapat kemuliaan dan kehormatan. Tapi bangsa kita yang sudah ada kemuliaan dan kekuatan ini, masih tak sedar diri. Semoga ketidak sedaran mereka itu tidak sampai kepada tahap yang membawa mereka murtad.” Aku menambah lagi.

“Ayah dengar dulu ada juga orang Melayu sendiri yang nak beli tanah tu, tapi apabila tauke Cina tu letak harga tinggi lagi, maka diterimalah tawaran cina tu. Bezanya bukannya banyak mana pun. Lebih 3 ribu je. Dan 3 ribu tu la nilai sebenarnya bangsa dan agama kepada anak pak cik Daud tu. Kenapa? Sebab 3 ribu tula orang Melayu yang seagama ditolak tawarannya. Kesian. Manusia selalu sangat kalah apabila berlawan dengan duit dan harta. Walhal, duit dan harta itu bukannya ada keupayaan tuk berfikir atau bergerak pun. Dia lupa dia hamba kepada Allah SWT dan bukannya hamba kepada duit dan harta.” Ayahku mencelah dengan tenang bersama dengan sebuah konklusi yang hebat. Itulah ayahku yang ada ketikanya diam tetapi otaknya ligat berfikir.

“Berbanyaklah kita berdoa semoga anak-anak mak dan ayah ini tidak akan menjadi hamba duit suatu masa kelak.” Tambah aku.

Akhirnya kami pun sampai di kebun yang dituju. Berbeza sungguh kebun ini seusai mak dan ayah bersusah payah untuk mengusahakannya semula. Tanah inilah yang bakal menjadi amanah kepada kami, anak-anak mereka untuk disambungkan kepada generasi mendatang. Waallhua’lam.



Monday, November 26, 2012

Ini Madrasah


Ini madrasah,
Yang pernah menjadi saksi,
Satu cendekiawan ini menabur jerih,
Dikerahnya daging serta tulangnya,
Demi syahid kecil lagi kudus.

Ini madrasah,
Yang pernah menghamilkan,
Puluhan ulama nusantara,
Ulama yang tidak ingin melihat
agama ini dilitupi rahap,
Malah terus diangkat pawana.

Di madrasah ini jualah,
Akalku membentuk satu ideologi,
Menyertai satu revolusi diri.

Dinding dan tingkap madrasah inilah,
Yang menjadi saksi berlakunya
satu revolusi ummah,
dihamilkan sendiri revolusi ini
oleh ratusan jiwa manusiawi.

Madrasah- sebahagian daripada kita
Madrasah- syurga intelektual
Madrasah- terimalah penghargaan dariku.

Terima kasih madrasah!!!


Faris MM
Kuala Kangsar
2009 

Sunday, November 25, 2012

Dunia Yang Bisu




Dunia mula menjadi sepi,
masyarakat mula menjadi bisu,
mulut tidak lagi berfungsi,
mata seolah-olah buta.

Kegusaran hanya sementara,
kegelisahan hanya bersifat palsu,
keprihatinan hanya lakonan
semangat hanya pada mulut.

Betebaran masalah dunia ini,
sebuah dunia yang sepi,
masyarakat yang cakna menyepi,
pernindasan mula dianggap suci.

Agama pula tidak lagi ditempatnya,
hanya berkitar di masjid dan pelosoknya,
duit tidak lagi menjadi suci,
rasuah pula menjadi sebati.

Kenapa begini?
jahilkah bangsaku ini?
tulikah pemikiran bangsaku?
mungkin kerana santunnya bangsaku ini.

Bukalah mata cerlangmu bangsaku,
beredarlah melihat bangsamu,
carilah dimana nilai bangsamu,
bersyukurlah dengan sekelumit nilai kalian,
Ayuh,
kembalikan semangatnya.

Ibnu Rahman Al-Kangsari
KIAS, Nilam Puri
10 Mei 2011


Friday, November 23, 2012

Hai budak kampung!!!

Kampung VS Bandar: Tetap ada nilai tersendiri....

“Hai budak kampung!!!”, panggil muiz pada hafiz.
“Assalamualaikum, hai.” balas hafiz dengan tenang.
Wajah muiz merah bersama balasan salamnya. Hafiz tetap meneruskan suapan makanan ke dalam mulutnya. Panggilan dari Muiz bukan sesuatu yang perlu dikejut dan difikirkannya. Sememangnya asal-usul dia daripada kampung. Suasana di Kantin Fakulti Kejuruteraan masa itu tenang dek kerana kurnagnya pelajar.
“Muiz, Apsal ko suka panggil aku budak kampung erk?” 
“Boleh lagi ko tanya soalan macam tu kat aku? Aku ingat ko sedar dah? Rupa2nya ko ni lampi jugak erk? Cuba tengak diri ko tu. Pakaian skema, cermin mata pun style orang tua. Telefon ko pun 3310 lagi. Ko tgk aku ni, pakaian ala-ala group one direction. Telefon aku pula, Samsung Galaxy S3.” Jawab sambil menunjuk-nunjuk telefon bimbit kebanggaannya.
Itulah Mohd Muiz Datuk Saberi. Anak kepada jutawan hartanah yang gemilang lagi terbilang di Kuala Lumpur. Berlagak dan stylo adalah identiti khususnya. Tapi Hafiz bukanlah seorang yang sangat sensitif. Baginya Muiz tetap sahabat yang baik. Cuma adabnya kurang sikit.
“Kiranya ko nak katakan yang orang kampung macam aku ni xde kamajuan  la? Atau bahasa kasarnya kolot la?” Balas Hafiz dengan sedikit emosi. Sebagai anak kampung sejati, kata-kata sinis Muiz tadi sedikit sebanyak menyentuh hatinya.
“Hah, faham pun ko akhirnya. Itulah yang aku nak maksudkan. Tapi aku tak tergamak la nak cakap tadi.”
“Tapi ko jangan bangga sangatlah dengan status orang Bandar ko tu erk!!!” balas Hafiz sambil bangun untuk menuju ke tutorialnya. Melayan kerenah Muiz terlalu lama hanya sia-sia baginya. Hal ini kerana topik perbincangan tetap tentang orang kampung yang tak maju.
“Lepas abih tutorial tunggu aku di kereta, ok? Kita balik sekali.” Laung Muiz pada Hafiz.
Hafiz hanya mengangkat tanda isyarat memahami arahan kawannya itu. Dia perlu melajukan langkahnya. Kerana sepatutnya tutorialnya sudah bermula 10 minit yang lalu. Tidak menepati waktu adalah ciri-ciri orang yang gagal dalam hidupnya. As-syahid Imam Hassan Al-Banna jua pernah berkata, “Kewajipan yang ada lebih banyak dari masa yang ada”.  Jelas menunjukkan kita perlu memanfaatkan setiap masa yang ada.
***
Muiz tenang memacu Toyota Viosnya dengan kelajuan yang sederhana. Kondisi lebuhraya Guthrie ketika itu tidak terlalu sibuk. Barangkali dek kerana masih dalam office hours lagi. Jutaan jasad manusia masih di dalam pejabat mahupun kilang lagi.
“Eh Hafiz, apsal ko sound aku supaya jangan bangga sangat tadi erk?
Muiz, walaupun dia seorang yang berlagak, tapi dia juga  seorang yang mudah untuk dinasihati. Dia tetap akan memikirkan setiap nasihat yang diberikan kepadanya.
“Gini la Muiz, esok ko free tak? Kalo ko free jom kita balik kampung aku kt Kedah jap. Tu pun kalo ko sudi la.” Perlawa Hafiz pada Muiz.
“Esok sepatutnya aku ada date dengan budak junior yang cun tu, hehehe” balas Muiz dengan tersenyum seperti kerang busuk itu.
“Tapi xpela, aku cancelkan dulu date tu, aku ikut ko balik Kedah esok.” Sambung Muiz bersama persetujuannya untuk menerima perlawaan  Hafiz.
***
“Jauhnya kampung ko Hafiz, dah macam masuk kawasan orang asli kt Ulu Tembeling je Hafiz, ada line ke kat sini, tak dapat tido aku kalo tak boleh bergayut dengan awek malam ni.”
“Yes, 1-0!!!” balas Hafiz dengan ringkas.
Muiz menjadi terpinga-pinga. Setahunya hari ini tiada apa-apa perlawanan bola sepak. Baik untuk Liga Malaysia mahupun Liga Perdana Barclays. “1-0? Maksud ko?” Tanya Muiz untuk menjawab segala keraguannya.
“1 untuk aku sebagai budak kampung, dan 0 untuk ko sebagai orang bandar, tengok, awal2 lagi ko dh mengaku xleh hidup hanya kerana xde line telefon. Takde la hebat sangat orang bandar ni rupanya.” Balas Hafiz dengan nada bersahaja.
“Eleh, setakat tu je? Baru 1, belum 10 lagi wei…” jawab Muiz dengan geramnya.
Kehidupan di kampung bukanlah sesuatu yang biasa dalam diri Muiz, lahir sebagai anak jutawan, menyebabkan masa hidupnya hanya dihabiskan di bandar ataupun di luar Negara sahaja. Tambahan pula datuk dan neneknya yang sememangnya tinggal di Kampung Baru, menambahkan keasingan dirinya dengan suasana kampung.
***
Pagi ini Hafiz mengejutkan Muiz agak awal. Sebaik sahaja Muiz membuka kelompak matanya, gegendang telinganya terus Berjaya menangkap laungan azan dari masjid yang berdekatan. Hafiz mengajak Muiz untuk berjemaah bersama-sama keluarganya. Ayah Hafiz sememangnya sudah menunggu di ruang tamu sejak tadi lagi. Sejak qiyamullail lagi ayahnya belum meinggalkan sejadah itu lagi.
Muiz berjalan dengan longlai ke bilik air sambil mencapai tualanya. Hafiz hanya menghantar Muiz dengan pandangan matanya sahaja. Dia yakin Muiz sudah mengetahui di mana bilik airnya. Hafiz pula terus ke menunggu di ruang tamu untuk menyertai majlis zikir bersama-sama ayahnya. Sememangnya itu suasana normal keluarga Hafiz ketika dinihari.
“Arggggghhhh, sejuknya!!!” laung Muiz dari dalam bilik air dengan sekuat hatinya.
Jeritan Muiz itu telah mengejutkan Hafiz, ayahnya dan ibunya. Lebih menarik lagi turut mengejut adik bongsu Hafiz yang masih tidur. Mereka tersentak. Tetapi ayahnya tetap meneruskan majlis zikir itu. Hafiz tersenyum.
Seusai menunaikan solat Subuh berjemaah, Hafiz dan Muiz terus masuk ke bilik semula. Sebaik sahaja pintu ditutup, ketawa Hafiz terus sahaja berderai.
“Pasal apa ko ni? Sawan ke?.” tanya Muiz.
“Apa citer bro? Pagi-pagi hari dah menjerit. Tula, asyik mandi ngan air panas je, dengan air sejuk pun ko kalah, tau tak? 2-0, bro!!!”. Jawab Hafiz dengan jawapan yang penuh sinis.
Muiz senyap seribu bahasa. Dia akui, sememangnya setiap pagi dia hanya akan mandi dengan air dari pemanas air di bilik mandinya sahaja. Itupun setelah bangun pada jam 7.00 pagi paling awal. Tapi hari ini, dia perlu menjamah air kolah yang sejuk pada jam 5.00 pagi lagi. Sesuatu yang tidak pernah dilakukannya.
“Tu la ko. Jangan berlagak sangat jadi orang bandar. Badan je sasa, hari2 pergi gim, tapi dengan air pun kalah dah.”
“Aku bukan takut la. Cuma tak biasa je.”  Balas Muiz untuk membela dirinya.
“Memang la sebab tak biasa. Ko ingat aku kecik2 dulu kena berlatih ke untuk mandi dgn air sejuk tu? Sejak aku kecil lagi aku mandi dah ngan air sejuk tu. Kadang-kadang aku terjun je dalam kolah tu.”
Pagi itu Hafiz dan Muiz berbual panjang sambil bebaring diatas katil sementera menunggu waktu sarapan pagi. Pelbagai perkara mereka perkatakan. Muiz tak habis-habis dengan isu cintan-cintunnya itu. Hafiz pula tetap dengan isu politiknya. Itulah mereka, dua sahabat rapat yang sekursus pengajian, tetapi memiliki tarikan pemikiran yang berbeza. Apabila sampai waktu untuk sarapan pagi, mereka bingkas bangun. Tiba-tiba Hafiz terus memusingkan badan Muiz untuk melihat bahagian belakangnya.
“Eh, Muiz. Ko tido kt mana semalam? Kat sarang nyamuk ke? Penuh bintik-bintik badan ko.”
“Aku punya badan tak pulak bintik2 macam ko.  Padahal aku tidur sekali ngan ko semalam. Lembut betul kulit orang bandar. Macam kulit perempuan ko tau tak? Anak dara kampung ni pun aku rasa ok lagi kulit. Hahaha” tambah Hafiz dengan ayat penuh kata-kata sinis.
Muiz menarik muka masam. Menikmati sarapan yang disediakan sambil otak ligat memikirkan kata-kata Hafiz sebentar tadi. Ada ketikanya, kata-kata Hafiz memang benar. Teramat sangat benar.
Selepas sahaja menikmati sarapan pagi, mereka terus bersiap untuk pulang ke Kuala Lumpur semula. Sekarang belum lagi cuti semester. Oleh itu, keberadaan mereka di kampung hanyalah sebentar. Sekadar mengambil kesempatan cuti hujung minggu sahaja.
***
Perjalanan pulang mereka ke Kuala Lumpur amat mendamaikan. Mereka perlu meredahkan kawasan pernanaman padi yang amat sinonim dengan negeri Kedah ini. Muiz masih diam seribu bahasa. Otaknya tetap memikirkan tentang dirinya ketika di kampung Hafiz tadi.
“Hafiz, aku minta maaf la wei.”
“ Pasal apa pulak ko nk minta maaf ngan aku tiba2 ni?”
“Yela, sebelum ni aku selalu kutuk ko dengan panggilan budak kampung. Padahal ko lebih lasak dari aku.”
“Owh,, pasal tu je. Ok la Muiz. Sebenarnya Muiz, orang kampung macam aku ni macam student fakulti pengajian Islam juga la.
“ Macam student fakulti pengajian Islam? Maksud ko?” Tanya Muiz dengan dahinya yang berkerut-kerut.
Dari manapun kamu datang, hanya ketaqwaan yang dilihat
“Macam ni, walaupun mereka nampak ketinggalan je pasal dunia teknologi, tidak seperti ko yang sememang amik course computer networking, tapi mereka tetap tahu asas-asas computer, malahan boleh menggunakan computer utk membuat assignment mereka. Tapi ko, walaupun ko expert bab teknologi ni, tapi ko belum tentu boleh memahami asas-asas Islam,” Terang Hafiz dengan panjang lebar.
“Pastu apa kaitannya dengan orang kampung?” soal Muiz meminta penjelasan lagi daripada Hafiz.
“Sama la macam aku, walaupun aku ini budak kampung, tetapi apabila aku pergi ke bandar, aku tetap boleh survive hidup aku. Pasal teknologi masa kini pun aku boleh guna. Takde la macam ko yang menjerit tak tentu pasal bila duduk kampung. Nasib baik duduk sehari je. Kalo hancur la kulit ko kena gigit dengan nyamuk,” tambah Hafiz sambil sempat menyindir Muiz lagi.
“ Betul la apa ko cakap tu. Kadang-kadang aku lihat orang bandar ni majoritinya berlagak je lebih. Tapi sebenarnya habuk pun xde. Tapi xpela, yang pasti lepas ni aku xakan kutuk ko budak kampung lg dan aku nak duduk kampung ko lg lepas ni ”.
Aku bangga sebagai budak kampung
Mereka pun ketawa. Dan perjalanan mereka diteruskan menuju ke Kota Metropolitan Kuala Lumpur. Orang kampung atau orang bandar sekalipun, mereka perlu menuntut ilmu. Kerana dengan ilmulah seseorang itu menjadi mulia. Orang kampung atau orang bandar, Allah SWT hanya melihat ketaqwaanmu dan bukannya asal-usulmu dari mana.