Sunday, March 10, 2013

Aku Anak Bangsa Timur

Seandainya sisi inci ruang blog ini kita andaikan sebagai sebuah rumah, sudah pasti dibucu-bucunya sudah terbina istana kayangan buat Sang Labah-labah yang kita namakan kediamannya dengan Istana Sawang. Tidak mustahil juga Sang Labah-labah juga berjaya membina jambatan gantung ditengah-tengahnya. Barangkali jambatannya mampu untuk menandingi kehebatan Jambatan Pulau Pinang yang gah merentas lautan.  

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Apabila kita menyentuh soal ketimuran, pasti persoalan kesopanan dan kesusilaan jua akan memunculkan diri. Seharusnya kita sebagai manusia dan hamba Allah yang mendiami kawasan ketimuran, sudah pasti perhiasan baju sopan dan songket adab akan menghiasi setiap inci tubuh kita.  

Timur dan sopan tidak akan diumpamakan seperti belangkas di belantara jika nenek moyang kita dahulu tidak tinggi nilai adabnya. Dimana silap kita sehingga nilai adab itu makin menjauh dari tanah damai kita. Barangkali sejarah yang silap bercerita. Mungkin sejarah hanya menekankan kepahlawanan Hang Jebat dan Dato' Maharajalela atau perjuang-perjuang yang lain sehingga lupa hendak menyelitkan soal adab dan nilai mereka.  

Melaka tidak mungkin akan melahirkan para perjuang terulung seandainya anak bangsa mereka tidak diperkosa oleh kebiadaban bangsa Barat. Dato Maharajalela tidak akan merancang pembunuhan J.W.W. Birch seandainya nilai kesopanan bangsa Melayu Perak tidak disentuh oleh Barat yang kurang susilanya. Golongan agama seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy dan angkatannya tidak akan menentang pemerintahan Jepun, jika Jepun tidak mencalitkan calitan biadabnya di tanah bangsa ini. Haji Ahmad Fuad Hassan tidak akan mengumpulkan para ulama dari seluruh semenanjung jika tiada pihak yang cuba merosakkan kesucian Islam di tanah merdeka ini.  

Secara mudahnya semua para perjuang terdahulu, budi dan jasa mereka bukan kerana nama mahupun pangkat. Tetapi mereka bangkit dan mengorak langkah hanyalah untuk mempertahankan nilai kesopanan dan kesusilaan yang sudah sedia maklum sebati dengan penghuni tanah timur ini.  

Tapi, hari ini kita lupa pada budi dan jasa mereka. Nilai kesopanan dan kesusilaan yang ada kita tidak hargai. Kita biarkan ia hakis dan terus terhakis. Bodoh. Kesian para pejuang terdahulu. Mereka sanggup bergadai nyawa supaya harta kesopanan dan kesusilaan ini akan terus mekar dan dapat dikecapi oleh generasi seterusnya. Tetapi apa yang kita buat?  

Untuk melihat bangsa Barat yang biadab, kita tidak lagi perlu untuk sampai ke United Kingdom, USA,mahupun negara Amerika Latin, cukup melihat ditanah bangsa sendiri sudah ramai klon-klon bangsa barat yang ada. Jika sebelum ini kita biasa dengar orang-orang kampung adalah golongan yang kuat berpegang pada ajaran agama dan tinggi nilai ketimurannya, tapi hari ini masihkah kita dapat menemui golongang tersebut di kampung-kampung? Pada generasi muda-mudinya lagilah jauh sama sekali tidak akan ditemui.  

Beradab sopan dan menjaga kesusilaan bukanlah warisan budaya Melayu semata-mata. Tetapi yang lebih utama dan penting ianya WAJIB sebagai tuntutan ajaran Islam pada ummahnya. Tapi hari ini, kita bukan sahaja lupakan budaya bangsa, tetapi yang lebih parah, kita lupa pada agama kita. Malahan bagi mereka yang sibuk berjuang atas nama bangsa juga ada yang kurang nilai sopan dan susilanya. Wahai sahabatku, bangsa Melayu tidak akan nilai dan kemuliaannya jika sekadar pada kesopanan dan kesusilaannya, tetapi bangsa ini akan terus maju dan mulia kerana agama Islam yang ada pada bangsanya.

#Berubahlah selagi Allah SWT memberi peluang dan masa.

1 comment:

  1. How to make money from making money from gambling? - Work
    The reason it 경기도 출장안마 was the first time you หารายได้เสริม had 아산 출장샵 to win 나주 출장샵 money from casino was because you 대구광역 출장샵 had the right amount and experience. In most states, sports betting

    ReplyDelete