Wednesday, May 2, 2012

Aku Bangga Menjadi Seorang Pemuda Islam

Setiap orang pasti akan atau pernah melalui zaman remaja atau zaman muda. Malah lebih menarik lagi zaman muda adalah zaman yang paling terpahat kukuh di kotak minda kita. Sehinggakan apabila bercerita tentang zaman muda, setiap detik, saat, jam dan hari serta tempat mampu kita sebutkan semula. Mungkin sesetengah orang akan melakonkan semula situasi tersebut. Mengapa begini? Ini kerana zaman muda adalah zaman yang terpenting diantara zaman-zaman yang akan atau telah dilalui oleh seorang manusia yang normal. Atas dasar itulah Islam sebagai sebuah agama yang syumul tidak pernah sesekali terlepas pandang kepada kelompok ini. Malah pemuda diberi tempat yang agak istimewa di dalam al-Quran. Jelas di dalam al-Quran terdapat sebuah surah yang menceritakan sekumpulan pemuda, yakni Asbabul Kahfi. Tambahan pula apabila kita mengkaji daripada sudut Sirah Rasulullah SAW pula, jelas golongan pemuda adalah golongan awal yang menerima Islam dan pemuda jua yang menjadi benteng kepada dakwah dan diri Rasulullah SAW. Lebih menarik lagi adalah para ulama juga turut menulis beberapa buah buku yang khusus untuk para pemuda. Sebagai contohnya adalah buku ‘Sehingga Para Pemuda Mengerti’ dan ‘Pemuda Yang Dijanjikan Kemenangan’. Para ulama tidak pula pernah menulis buku khusus yang ditujukan untuk kanak-kanak ataupun golongan orang tua. Maka terbukti bahawa Islam memandang tinggi terhadap golongan pemuda disamping tidak memperkecilkan peranan golongan lain. Kanak-kanak juga pernah diberi tempat yang tinggi dalam Islam apabila Ali bin Abi Talib RA yang masih kanak-kanak antara kelompok terawal yang menerima Islam. Aku bersyukur ke hadrat Ilahi kerana diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk mengharungi zaman mudaku disamping ramai juga sahabatku yang meninggal ketika belum sempat menghabiskan zaman persekolahan lagi pun. Perpatah Indonesia ada mengatakan, zaman muda adalah zaman yang berapi-api. Ya, memang benar zaman muda adalah zaman yang penuh dengan semangat dan keringat. Orang muda seharus dan semestinya berjiwa muda dan berfikiran muda, yakni berfikir secara kreatif, berani bercanggah, dan tidak mengizinkan fikirannya tertakhluk atau ditakhluki mana-mana sistem menguasainya. Fenomena semasa yang selalu dilaung-laungkan oleh pihak-pihak yang berkaitan adalah kebangkitan mahasiswa ataupun kebangkitan anak muda. Memang tidak dapat dinafikan mereka ini dipacu oleh golongan yang berpendidikan tinggi. Tetapi politik itu luas dan memerlukan ilmu yang luas itu mengharunginya. Dalam keadaan sistem pendidikan semasa ini yang menumpukan sesuatu bidang sahaja, anak muda memerlukan perkongsian idea yang lebih luas dan ditambah dengan nasihat daripada golongan yang dianggap veteran dalam sesuatu bidang itu. Apalah erti sebuah perjuangan seandainya bukan ilmu yang menjadi neraca kepada sesuatu isu mahupun keputusan. Semangat? Ya, memang semangat itu penting dan semangatlah yang akan mengerah keringat dalam meneruskan nilai sebuah perjuangan. Tetapi jangan sesekali lupa bahawa semangat yang kosong akan memberi nilai yang kosong kepada perjuangan. Pemuda seharusnya ingat bahawa berprinsip, berakhlak mahupun berpolitk, biarlah dengan ilmu. Takut ataupun gementar adalah fitrah yang akan tetap terus bersama dengan denyutan nadi dan saluran darah walaupun di alveoli sekalipun. Amirul Mukminin, Umar Al-Khattab yang dianggap garang juga pernah takut, Zaid Bin Harithah yang merupakan seorang panglima Islam juga pernah takut, tetapi bagaimana mereka tetap boleh meneruskan lakaran-lakaran sejarah yang agung di dalam diari kehidupan mereka? Ini sudah semestinya adalah kerana ilmu yang membentuk peribadi, prinsip serta jati diri mereka. Ilmu jugalah yang menyebabkan Usamah Bin Zaid yang baru berusia 18 tahun meneruskan peperangan ketika Perang Mu’tah, walhal ayahnya Zaid Bin Harithah yang sedang memimpin tentara Islam ketika itu syahid di depan matanya. Sejarah keagungan Islam juga telah menyaksikan bahawa dua orang anak muda Ansar, iaitu Muaz dan Muawwaz yang asalnya penakut telah Berjaya membunuh orang yang paling banyak menyakiti Rasulullah SAW, yakni Abu Jahal. Siapa sangka orang yang setegap dan segagah Abu Jahal ini akhirnya hanya dikalahkan oleh anak muda sahaja. Betapa hebatnya peranan pemuda-pemuda yang faham. Seperti kita yang dikurniakan akal ini, seharusnya kita tidak boleh bercakap kita tidak mampu, tidak layak, sedang kita sebenarnya mampu, boleh melakukan apa sahaja untuk memastikan kalam Allah sampai ke semua hati-hati manusia. Jadikanlah diri kalian sebagai Usamah Bin Zaid atau Ali Bin Abi Thalib di dalam dunia moden Islam sekarang yang terus menegakkan kalimah Tauhid diatas muka bumi Allah SWT ini. Insyaallah.