Monday, November 29, 2010

Hakikat Iman

Semestinya bagi seorang muslim apabila berbicara tentang Iman berkata-katalah hatinya dengan sekurang-kurangnya "Alhamdulillah". Kerna berimannya kita hari ini bukan kerana semalam kita beriman, dan juga berimannya kita hari ini bukan satu jaminan yang kita turut akan beriman pada keesokkan harinya. Sebab berimannya kita sebelum ini, hari ini, dan hari-hari yang mendatang adalah kerana Rahmat yang dikurniakan oleh Allah kepada kita. Ramai orang masa kini apabila ditazkirahkan oleh para ulama, para ustaz, mahupun para sahabat agar bersyukur dengan nikmat Iman yang Allah kurniakan, kita hanya buat tak tahu umpama membiarkan angin berlalu tanpa sempat disapa. Jelas terbukti yang bahawa ummah kini berada dalam keadaan yang tenat. Hinggakan tidak lagi peka terhadap erti iman yang merupakan isu pokok dalam hidup beragama. Barangkali kita lebih bangga membawa status Islam dalam IC kita daripada memahaminya. Kita seringkali mendengar kisah-kisah para sahabat yang sanggup mencari maut ketika hanya disebabkan keimanan mereka yang tinggi. Tetapi kita tidak pernah berusaha untuk memahami erti iman.

Firman Allah SWT: Terjemahan: Demi masa, sesungguhnya
manusia itu semuanya berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang
beriman dan beramal soleh. (Al `Asr: 1-3)

Ayat di atas yang termaktub dalam Kitabullah jelas menunjukkan bahawa kita akan menjadi insan yang berjaya apabila kita beriman kepada Allah. Sebagai contoh adalah seorang sahabat Rasulullah SAW dalam peristiwa Hijraturrasul, Suhaib Ar-rumi yang asalnya papa kedana tetapi akhirnya menjadi jutawan. Suhaib Ar-rumi yang asal adalah orang Rom, datang ke Kota Makkah dalam keadaan sehelai sepinggang, tetapi apabila beliau ingin keluar dari Kota Makkah untuk berhijrah, beliau telah ditahan oleh Abu Jahal. Berkata Abu Jahal, "Wahai Suhaib, engkau telah datang kesini dalam keadaan miskin, tetapi oleh manfaat kekayaan Kota Makkah ini, engkau menjadi jutawan. Tetapi hari ini, engkau ingin meninggalkan tanah ini bersama-sama harta yang engkau dapat darinya". Maka balas Suhaib, "Jika sebegini banyak sebab kau halang aku, maka engkau ambillah semuanya. Kerana aku mendapat sesuatu yang jauh lebih bernilau dari semua ini, yakni keimanan kepada Rabbul Jalil". Inilah bukti yang menunjukkan tingginya tahap kepercayaan para sahabat terhadap Allah. Sehingga dikatakan oleh para ulama bahawa tiada mana-mana golongan manusia yang mampu menandingi golongan para sahabat.
Manusia masa kini lebih bertuhankan harta dunia daripada bertuhankan Allah. Contoh yang biasa berlaku kepada masyarakat adalah seperti seorang pelajar yang akan memilih bidang pengajian yang mampu memberi jaminan kerjaya kepadanya, bukan kerana dia menurut perintah Allah melalui Al-quran yang menyuruhnya menuntut ilmu. Bagi golongan profesional pula, mereka lebih peka dengan urusan yang boleh menambah pendapatan mereka berbanding mencari keredaanNya. Kedua-dua ini adalah bukti bahawa masyarakat tidak lagi percaya bahawa Allah Yang Maha Pemurah adalah penentu kepada rezeki yang akan diterimanya. Jika seorang hamba Allah yang taat kepadaNya mendapat harta yang lebih, barangkali itulah bonus yang Allah beri kepadanya, melainkan gaji pahala yang semestinya dapat. Mari para sahabat kita muhasabah kembali diri kita agar tidak berulang di masa hadapan.